STEINBRUCKNER akui penggunaan VAR adalah satu langkah yang baik demi pembangunan bola sepak negara. -FOTO NSTP
STEINBRUCKNER akui penggunaan VAR adalah satu langkah yang baik demi pembangunan bola sepak negara. -FOTO NSTP
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Jika sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) digunakan pada aksi final Piala Malaysia malam ini, nasib Terengganu FC (TFC) mungkin lebih baik sekali gus kekalahan 1-3 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) boleh dielakkan.

Menurut pengendali Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner, beliau akui penggunaan VAR adalah satu langkah yang baik selepas melihat beberapa insiden kekasaran berlaku sekaligus mengundang persoalan tentang keputusan pengadil.

"Mungkin satu idea yang baik untuk menggunakan sistem VAR kerana dengan tiga penalti, pengadil boleh menyemaknya semula. Kita juga lihat ada beberapa cabaran yang dilakukan pada aksi final ini.

"Saya fikir mungkin beberapa lagi kad kuning patut dilayangkan kepada pertahanan JDT.

"Tetapi saya tidak mahu bercakap terlalu banyak mengenai pengadil," katanya pada sidang media di selepas aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) itu.

Dalam perkembangan sama, beliau akui memuji aksi barisan pertahanan muda TFC yang menampilkan aksi terbaik sepanjang aksi.

Ia termasuk aksi ampuh tonggak muda, Ubaidullah Shamsul yang berjaya mengekang pergerakan Arif Aiman Hanapi di bahagian sayap.

Dalam aksi itu, JDT meriah gol pertama menerusi sepakan penalti Bergson da Silva seawal minit keenam sebelum TFC mengikat kedudukan 1-1 juga hasil sepakan penalti yang disudahkan Ivan Mamut di hujung babak pertama.

Anak didik Esteban Solari tampil lebih mengancam di separuh masa kedua dengan gol tandukan Feroz (m-73) dan penalti Arif Aiman Hanapi pada masa kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Disember 2023 @ 12:41 AM