POLIS  dan  anggota FRU mengawal keselamatan di pintu masuk utama stadium selepas sebahagian penyokong Terengganu FC  tidak berpuas hati dengan mutu pengadilan ketika menentang JDT. FOTO Ghazali Kori.
POLIS dan anggota FRU mengawal keselamatan di pintu masuk utama stadium selepas sebahagian penyokong Terengganu FC tidak berpuas hati dengan mutu pengadilan ketika menentang JDT. FOTO Ghazali Kori.
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: "Pengadil 'ragut' aksi terbaik dipamerkan Terengganu FC (TFC) ketika berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) semalam."

Demikian reaksi Presiden Kelab Penyokong Bolasepak Terengganu FC, Mohd Isa Che Ariffin selepas kecewa dengan mutu pengadilan Mohd Fusser Mad Sallih yang didakwa berat sebelah selain tidak mengamalkan semangat kesukanan tinggi dalam perlawanan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Gong Badak.

"Jika pengadil bijak mengendalikan perlawanan dan tidak berat sebelah, sudah pasti keputusan berbeza selain kami peminat setia yang datang dari pelbagai daerah dekat dan jauh terhibur menyaksikan perlawanan itu.

"Tapi apa yang berlaku adalah sebaliknya, kami begitu kecewa dengan mutu pengadilan bermula awal permainan lagi. Harap pengurusan TFC membuat laporan penuh dan bantahan dengan menghantar surat kepada pengelola pertandingan selain mohon Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hukum pengadil itu."

Pada perlawanan berintensiti tinggi itu, skuad Penyu berjaya menyamakan kedudukan menerusi rembatan padu pemain importnya, Sony Norde selepas Fernando Forestieri meledak gol pendahuluan manakala dua lagi jaringan JDT disumbat Bergson Da Silva hasil sepakan penalti dan Endrick Dos Santos seminit sebelum wisel penamat yang membolehkan JDT menang 3-1.

Jelas Mohd Isa, sepatutnya sebagai pengadil berpengalaman, beliau perlu bijak mengendalikan perlawanan dan bukannya bertindak tidak profesional yang boleh 'merosakkan' permainan dan boleh 'membunuh' semangat pemain TFC.

"Anda boleh lihat sendiri mutu pengadilan yang teruk dalam perlawanan itu sekali gus meragut kemeriahan perlawanan. Banyak keputusan pengadil nampak berat sebelah bermula babak pertama lagi.

"Kemuncaknya menjadi lebih tegang selepas layangan kad merah kepada dua pemain import TFC iaitu Argzim Redzovic pada minit ke-52 dan pemain gantian, Ivan Mamut pada minit ke-73 selepas didakwa mengasari pemain lawan."

Sementara itu semakan dalam laman sosial mendapati, penyokong mengecam pengadil terbabit yang dilihat gagal melaksanakan tanggungjawab dengan baik selain menyalahgunakan kuasa diamanahkan kepadanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Jun 2023 @ 4:52 PM