AZAM menerima insentif SWARA berjumlah RM1,000. FOTO FAIZUL AZLAN RAZAK
AZAM menerima insentif SWARA berjumlah RM1,000. FOTO FAIZUL AZLAN RAZAK
Faizul Azlan Razak


Kuala Nerus: Bek kanan Terengganu FC (TFC), Azam Azmi Murad bertekad memperagakan aksi terbaik jika diberikan peluang beraksi dalam dua aksi persahabatan antarabangsa skuad Harimau Malaya, minggu depan.

Skuad bimbingan Kim Pan-Gon dijadual bertemu Kepulauan Solomon pada 14 Jun ini diikuti Papua New Guinea (20 Jun) bagi aksi pemanas badan Tier 1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

"Saya bersyukur kerana dipanggil menyertai kem Harimau Malaya dan ini adalah kali ketiga bersama skuad senior negara.

"Walaupun sedar berdepan dengan saingan hebat dengan pemain lebih pengalaman di posisi bek kanan, namun saya tidak mahu kehadirannya sekadar pelengkap dalam pasukan," katanya.

Azam ditemui selepas menerima insentif Skim Wakil Negara (SWARA) berjumlah RM1,000 pada Majlis Apresiasi Atlet Terengganu Sukan Sea 2023 Phnom Pehn di Bilik Seminar Ar Riyadah Residence Asrama Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) di sini, semalam.

Tonggak utama TFC berusia 22 tahun itu berkata, dia sedar tugas berat menanti apabila perlu bersaing dengan dua pemain pengalaman, Syahmi Safari dan Matthew Davies di posisi bek kanan.

Menurutnya lagi, dia mahu jadikan ia sebagai persaingan yang sihat dan akan mencabar diri untuk merebut tempat berada dalam kesebelasan utama.

"Bagi saya, posisi bek kanan masih terbuka dan akan menunjukkan kemampuan sebenar sekalipun berdepan dengan Syahmi dan Davies yang lebih berpengalaman dari saya.

"Malah, saya mahu kehadiran dalam skuad senior ini juga peluang buatnya belajar sesuatu bagi meningkatkan permainan di bawah bimbingan Pan-Gon," katanya.

Kali terakhir Muhammad Azam bersama skuad senior pada kejohanan Piala Raja Thailand dan Piala AFF selain Sukan Sea di Kemboja bersama Skuad Bawah 22 (B-22) Malaysia.

Ditanya pertemuan aksi Liga Super menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) malam ini, Azam mengakui pasukannya berdepan tugas berat, namun ia tidak mustahil mencatat kemenangan.

"Semua orang tahu, JDT pasukan kuat dan masih kekal dengan rekod tanpa kalah setakat ini. Bagaimanapun, kita akan turun dengan aksi terbaik dalam pertembungan malam ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Jun 2023 @ 10:45 AM