PERTAHANAN TFC, Safwan Mazlan idam rebut tempat dalam skuad senior kebangsaan. -FOTO TFC
PERTAHANAN TFC, Safwan Mazlan idam rebut tempat dalam skuad senior kebangsaan. -FOTO TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pertahanan muda Terengganu FC (TFC), Muhammad Safwan Mazlan akui begitu teruja selepas mendapat panggilan kali pertama bersama senior kebangsaan kendalian Kim Pan-gon.

Jelas pemain berusia 22 tahun itu, walaupun belum diumumkan lagi pemain yang bakal membawa cabaran negara dalam skuad Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, namun panggilan itu sudah begitu menggembirakannya.

Bek kiri TFC kelahiran Batu Rakit, Kuala Nerus itu berkata, dapat berlatih bersama pemain berkualiti dalam skuad kebangsaan bakal meningkatkan lagi keyakinan dan corak permainannya.

"Panggilan ini sangat menggembirakan saya lebih-lebih lagi ia adalah panggilan kali pertama sepanjang karier saya setakat ini.

"Saya tak sabar mendapat tunjuk ajar daripada ketua jurulatih kelahiran Korea Selatan itu selepas saya menyarung jersi skuad kebangsaan Bawah 23 Tahun," kata pemain berusia 22 tahun itu.

Selain Muhammad Safwan, Pan-gon juga turut memanggil empat lagi pemain TFC termasuk penjaga gol berpengalaman, Suhaimi Husin selain pertahanan kanan, Muhammad Azam Azmi Murad serta tonggak baharu, Safawi Rasid dan Akhyar Rashid dalam senarai 33 pemain ke latihan pusat bermula 8 Mac ini.

Pan-gon juga turut menyenaraikan empat pemain TFC dalam senarai bersedia iaitu penyerang, Engku Muhammad Nur Syakir Engku Yacob, pertahanan Mohamad Shahrul Nizam Ros Hasni, pemain tengah Akram Mahinan dan penjaga gol meningkat naik, Muhammad Rahadiazli Rahalim.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2024 @ 2:28 PM