AZAM Azmi (kanan) gigih berlatih bersama pemain Harimau Malaya di Wisma FAM menjelang perlawanan menentang Oman. FOTO FB FAM
AZAM Azmi (kanan) gigih berlatih bersama pemain Harimau Malaya di Wisma FAM menjelang perlawanan menentang Oman. FOTO FB FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Peluang diberikan kepada 11 pemain skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara berlatih bersama pasukan senior mampu meningkatkan lagi tahap keyakinan dan kematangan Harimau Muda itu menjelang kempen Piala Asia B-23 di Qatar, bulan depan.

Bek kanan, Azam Azmi Murad mengakui kesempatan berlatih di bawah tunjuk ajar pengendali senior, Kim Pan-gon dapat memberi dimensi baharu buat skuad B-23 nanti.

Dia yang sudah mengetahui sistem permainan Pan-gon ketika bermain di Piala AFF sebelum ini percaya beberapa muka baharu yang dipanggil akan dapat meraih sesuatu, sekali gus boleh dijadikan bekalan berguna apabila memulakan latihan dengan skuad B-23.

"Bagi saya, kita pun tahu pasukan senior macam mana kualiti mereka terutama dengan (tunjuk ajar) jurulatih tekan semua.

"Benda ini amat membantu termasuk untuk Azam terutama dengan pasukan B-23, benda ini positif," katanya yang memilih menyertai Johor Darul Ta'zim (JDT) musim ini, namun dipinjamkan ke Terengganu FC (TFC).

Dia mengakui tiada masalah untuk membentuk keserasian mantap bersama skuad B-23 yang dilatih Juan Torres Garrido.

Malah rakan gandingannya di TFC, Safwan Mazlan berada dalam pelatih skuad senior serta turut ditagih memperkuatkan skuad B-23 nanti.

"Bila Safwan pun ada dalam pasukan senior, bagus untuk dia dapat cari pengalaman bagi mematangkan permainan dia," katanya.

Di Piala Asia B-23 nanti, skuad negara diletakkan dalam Kumpulan D bersama Uzbekistan, Kuwait dan Vietnam.

Pasukan muda negara itu dijadual membuka kempen dengan menentang Uzbekistan pada 17 April sebelum bertemu Vietnam 20 April, dengan kedua-duanya berlangsung di Stadium Antarabangsa Khalifa di Qatar.

Aksi terakhir kumpulan menyaksikan Malaysia berdepan Kuwait pada 23 April di Stadium Al Janoub, yang juga venue bertuah buat skuad senior negara apabila bangkit mengikat Korea Selatan 3-3 di saingan Piala Asia 2023, Januari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2024 @ 2:19 PM