Nor Amalina Alias


Kota Bharu: Kelantan FC berhasrat mengikat sembilan import bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Pemilik Kelantan FC Norizam Tukiman berkata, pasukan mahu mengambil import semaksimum yang dibenarkan bagi membantu pasukan menghadapi saingan musim ini khususnya Liga Super yang dijadual bermula 25 Februari ini.

Menurutnya, mereka sedang menunggu dua lagi import iaitu seorang dari Nigeria manakala seorang lagi dirahsiakan identitinya.

"Kita tengah uruskan visa mereka. Seorang dari Nigeria manakala seorang lagi pemain kebangsaan yang bermain mewakili sebuah negara, yang belum boleh saya dedahkan," katanya pada majlis TRW Day di Stadium Sultan Muhammad IV Kota Bharu, di sini, hari ini.

Kelantan sebelum ini mengikat Kim Ming Kyu dan Kang Eui Chan dari Korea Selatan, disamping Cristian Mangaron Rontini (Itali), Mario Arques, Miguel Angel Garrido Cifuentes atau Cifu (Sepanyol) dan Nuha Marong Krubally (Gambia).

Selain itu, mereka juga mengekalkan pemain asal Haiti iaitu Kervens Fils Belfort dan Natanael Siringoringo (Indonesia) yang kini dipinjamkan ke pasukan Liga I Indonesia, Dewa United.

Mengulas lanjut, Norizam berkata pasukannya sudah 90 peratus siap untuk menghadapi saingan Liga Super musim ini dengan separuh daripada pemain dan pengurusan lama dikekalkan.

Skuad Kijang Merah mengekalkan pemain tempatan seperti Mohd Fazrul Amir Md Zaman atau Ghaddar Kelate, Ikhwan Yazek, Norshamil Abd Ghani selain Rezal Zambery Yahya sebagai pembantu jurulatih kepada pengendali dari Korea Selatan, Choi Moonsik.

Norizam berkata pihaknya berbelanja tiga kali lebih besar kali ini berbanding musim lalu.

Katanya, pihaknya menyasarkan kedudukan 10 teratas bagi saingan Liga Super pusingan pertama. "Kalau dapat (10 teratas), baru kita tengok untuk tempat 5 teratas untuk pusingan kedua.

Norizam berkata pihaknya juga menyasarkan penjualan `merchandise' Kelantan FC sebanyak RM800,000 tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Februari 2023 @ 9:26 PM
NORIZAM (lima kiri) bersama pemain pasukannya di pekarangan Stadium Sultan Muhamad IV, Kota Bharu, hari ini.  FOTO Nik Abdullah Nik Omar
NORIZAM (lima kiri) bersama pemain pasukannya di pekarangan Stadium Sultan Muhamad IV, Kota Bharu, hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar