NURUL Izzah Izzati Mohd Asri (tengah) yang mewakili Kedah mengungguli acara pecut Wanita Elit diikuti Amis Amira Rosidi (kiri) mewakili Perlis di tempat kedua dan Amber Yong (kanan) mewakili Selangor di tempat ketiga pada Kejohanan Berbasikal Kebangsaan 2024 di Velodrom Nasional, semalam. FOTO AZRUL EDHAM
NURUL Izzah Izzati Mohd Asri (tengah) yang mewakili Kedah mengungguli acara pecut Wanita Elit diikuti Amis Amira Rosidi (kiri) mewakili Perlis di tempat kedua dan Amber Yong (kanan) mewakili Selangor di tempat ketiga pada Kejohanan Berbasikal Kebangsaan 2024 di Velodrom Nasional, semalam. FOTO AZRUL EDHAM
Mohd Amin Jalil


Nilai: Bintang berbasikal trek negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri yakin latihan fasa terakhir di Eropah yang dijadual bermula minggu hadapan akan dapat melonjakkan lagi tahap prestasinya sebelum beraksi di pentas Sukan Olimpik Paris 2024, Julai depan.

Pelumba berasal dari Kedah itu mengakui dia perlu lebih tangkas dalam kedua-dua acara keirin dan pecut yang akan disertainya, bagi memberi saingan yang lebih baik terhadap pelumba handalan dunia di temasya berprestij empat tahun sekali itu nanti.

Sehubungan itu, pelumba berusia 21 tahun berkenaan mahu menggunakan sepenuhnya program latihan intensif itu nanti bagi meningkatkan lagi prestasinya terutama dari segi catatan masa yang disasarkan bagi acara pecut bawah 11.0 saat.

"Saya melihat latihan di Belgium dan negara Eropah sebagai sesuatu yang positif kerana banyak perkara yang perlu dipelajari dan ditingkatkan lagi terutama dari aspek taktikal dalam acara keirin.

"Saya juga perlu buktikan dari segi catatan masa yang lebih baik dan kekal di bawah 11.0 saat supaya dapat beri saingan.

"Penyertaan dalam latihan dan kejohanan di Belgium amat penting untuk dapatkan keyakinan ketika di Paris nanti," katanya ketika ditemui sempena Kejohanan Trek Kebangsaan 202, di Velodrom Nasional di sini, petang ini.

Menurut Nurul Izzah, dia sedar sebagai pelumba yang baharu beraksi di pentas tertinggi itu, bukan suatu tugas yang mudah, apa lagi bersaing dengan pelumba bertaraf dunia, namun dia akan terus belajar terutama dari aspek mengurangkan rasa gementar.

"Saya perlu bina keyakinan yang tinggi untuk berhadapan dengan cabaran yang sengit di Paris nanti dan saya rasa pengalaman di Belgium nanti akan dapat membantu terutama dalam mengurangkan rasa kurang yakin dan sebagainya.

"Dalam masa sama, saya perlu pastikan kekal dalam prestasi terbaik ini sebelum turun ke gelanggang Olimpik," kata pelumba yang pernah memecah rekod kebangsaan pada pusingan kelayakan Kejohanan Trek Berbasikal Asia (ACC) di Nilai tahun lalu dengan catatan 10.903s.

Nurul Izzah yang diberikan julukan The Pocket Rocketwoman, akui tahap prestasinya ketika ini semakin baik terutama dari aspek taktik dan teknik khususnya dalam acara pecut berbanding sebelum ini.

Nurul Izzah bakal menggalas cabaran di Olimpik dalam dua acara iaitu keirin dan pecut dan dia bersama pasukan trek negara bakal menyertai program latihan untuk tempoh dua bulan menjelang temasya itu, ke Eropah iaitu Belgium, Sepanyol dan England, sebelum menyertai perlumbaan di Paris yang dijadual pada 6 hingga 11 Ogos.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mei 2024 @ 6:33 PM