Syafiq bersama pelakon utama filem Sheriff: Narko Integriti, Zul Ariffin.
Syafiq bersama pelakon utama filem Sheriff: Narko Integriti, Zul Ariffin.
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Pengarah filem Sheriff: Narko Integriti, Syafiq Yusof berkongsi bakal menerbitkan kesinambungan filem itu selepas berjaya meraih kutipan pecah panggung sebanyak RM60.5 juta selepas 30 hari tayangan di pawagam.

Syafiq ketika dihubungi Harian Metro berkata, dia kini sedang dalam proses mencari idea baharu untuk penyediaan skrip.

"Alhamdulillah saya bersyukur dengan kejayaan filem ini yang sudah mencecah kutipan lebih RM60 juta. Disebabkan itu, saya bersetuju untuk menghasilkan kesinambungan filem Sheriff yang kedua.

"Saya baru saja nak mulakan proses mencari idea baharu untuk menulis skrip. Doakan semoga semuanya dipermudahkan," katanya.

Dalam masa sama, Syafiq berkongsi rasa teruja apabila filem terbitan Skop Productions dan Astro Shaw itu berjaya menembusi pasaran antarabangsa di Hong Kong dan Indonesia."

Bermula esok filem Sheriff bakal ditayangkan di 100 panggung di Indonesia dan semalam adalah hari tayangan perdananya. Kami menerima maklum balas yang positif dan lebih 400 tetamu menghadiri acara itu.

"Selain itu, filem ini juga berjaya tembus ke pasaran Hong Kong dan akan mulakan tayangan di 14 panggung pada 6 Jun ini. Walaupun jumlah panggung di Hong Kong tidak besar, tapi ini adalah satu permulaan yang baik untuk filem tempatan.

"Ini adalah filem pertama saya berjaya tembusi pasaran Hong Kong, begitu juga dengan Skop Productions," katanya.

Filem Sheriff yang membariskan pelakon seperti Zul Ariffin, Syafiq Kyle, Datuk Aaron Aziz, Azira Shafinaz dan Elizabeth Tan mengisahkan anggota polis dari Jabatan Integriti iaitu Sheriff bergandingan dengan Nazri, seorang anggota polis muda dari Jabatan Narkotik untuk menumpaskan sindiket dadah Tony Ifrit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mei 2024 @ 5:37 PM