SAFEE bergambar bersama bekas pertahanan di EPL, Anton Ferdinand yang juga adik kepada Rio Ferdinand. FOTO Safee Sali
SAFEE bergambar bersama bekas pertahanan di EPL, Anton Ferdinand yang juga adik kepada Rio Ferdinand. FOTO Safee Sali
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Bekas penyerang berbisa negara, Safee Sali membayangkan untuk keluar daripada persaraan selepas mempamerkan aksi menakjubkan di saingan The Soccer Tournament (TST), Las Vegas di Amerika Syarikat ketika ini.

Safee, 39, yang mengumumkan persaraannya daripada dunia profesional pada Februari lalu dilihat masih belum 'berkarat' apabila dia yang mewakili Far East United dalam saingan TST berjaya membantu pasukan menewaskan West Ham United dalam aksi pertama peringkat kumpulan D.

Lebih mengujakan, Safee sendiri meledak satu gol menerusi gerakan solo yang berjaya mematikan langkah bekas pemain Liga Perdana Inggeris (EPL), Anton Ferdinand.

Safee yang sudah meledak sejumlah 153 gol sepanjang kariernya sama ada di peringkat kelab mahupun antarabangsa dari 2003 berkata, dia tidak menyangka dapat meledak gol ketika berdepan West Ham United terutama apabila berdepan bekas pemain handalan EPL itu.

"Kami memulakan aksi pertama dengan baik sekali. Menang dengan pasukan West Ham United dari EPL.

"Sebagai anak Malaysia saya cukup berbangga, di mana saya menjadi ketua pasukan dan juga berjaya meledak gol. Adakah saya perlu memikirkan semula persaraan saya," kata Safee.

Dalam aksi dengan West Ham United itu, Far East United yang dianggotai majoriti pemain dari Asia Tenggara itu menang 4-2.

Menerusi perkembangan sama, bekas penyerang Selangor dan Johor Darul Ta'zim (JDT) itu turut berkongsi pengalaman berjumpa ramai legenda bola sepak dunia di saingan itu.

"Dalam 'tournament' seperti ini, dapatlah peluang berjumpa dengan legenda bola sepak lelaki dan wanita.

"Mia Hamm sudah macam Pele dalam bolasepak wanita.. Teruja sangat dapat bergambar dengan dia. Bola sepak di Amerika Syarikat sangat berbeza. Tetapi mereka ini apa-apa sukan pun mesti ramai, 'supporting' betul," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Jun 2023 @ 1:38 PM