SAFEE menerima ucapan tahniah selepas berjaya meledak gol buat Far East United. -FOTO Twitter
SAFEE menerima ucapan tahniah selepas berjaya meledak gol buat Far East United. -FOTO Twitter
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Bekas pemain kebangsaan Safee Sali membuktikan dia masih lagi berbisa apabila menjaringkan gol pada kejohanan The Soccer Tournament (TST) yang berlangsung di Amerika Syarikat.

Safee yang mewakili Far East United masih lagi memiliki penyudah yang tajam apabila berjaya membantu pasukannya menewaskan West Ham United dalam aksi pertama peringkat kumpulan D semalam.

Dalam perlawanan terbabit, gol daripada Safee berjaya membantu Far East menewaskan West Ham dengan jaringan 4-2.

Lebih menarik lagi, Safee melakukannya sendirian menerusi gerakan solo yang turut memerangkap bekas pemain Liga Perdana Inggeris iaitu Anton Ferdinand.

Gerakan menarik itu tular di media sosial sekali gus membanggakan penyokong bola sepak tempatan tempatan yang melihat pemain terbabit masih memiliki skil padu walaupun sudah mengumumkan persaraannya awal tahun ini.

Mengikut rekod, kejohanan yang disertai 32 pasukan daripada lapan kumpulan itu berlangsung pada 1 hingga 4 Jun 2023 dan bermain dengan format tujuh sebelah.

Perlawanan pertama Far East United sudah pun bermula apabila mereka mudah menewaskan West Ham United dengan keputusan 4-2 pada Khamis.

Pemain berusia 39 tahun itu bakal menempuh dua lagi perlawanan apabila beliau akan turun menentang Dallas United serta Culture By Mo Ali FC.

TST adalah acara bola sepak tahunan yang dianjurkan oleh The Tournament dan mereka juga turut mempunyai cabang sukan lain iaitu The Basketball Tournament (TBT).

Untuk TST kali ini, terdapat beberapa pemain terkenal yang menyertai kejohanan ini seperti Cesc Farbregas (Como 1907), Clint Dempsey (Team Dempsey) dan Kevin Grosskreutz (Borussia Dortmund).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Jun 2023 @ 1:53 PM