RONALDO ketika menjalani sesi latihan bersama pasukan Portugal di  Oeiras,  Lisbon.
RONALDO ketika menjalani sesi latihan bersama pasukan Portugal di Oeiras, Lisbon.
Agensi

London: Cristiano Ronaldo dipilih Pemain Terbaik Bulanan Liga Perdana (EPL) susulan prestasi cemerlang di Old Trafford.

Selepas tampil kali kedua bersama Red Devils ketika menentang Newcastle, CR7 meledak tiga gol dalam aksi EPL pada September lalu.

Pemain sensasi berusia 36 tahun itu menjaringkan dua gol ketika menewaskan Newcastle 4-1 pada awal bulan lalu selain meledak gol pembukaan ketika menang 2-1 ke atas West Ham.

CR7 mengatasi saingan Joao Cancelo, Antonio Rudiger, Allan Saint-Maximin, Ismaila Sarr dan Mohamed Salah untuk anugerah itu.

Peminat mengundi pemenang menerusi laman web EPL dengan panel terdiri daripada pakar bola sepak turut menentukan pemain paling layak menerima trofi.

Ia kali kelima dia dipilih Pemain Terbaik Bulanan selepas menerimanya pada November dan Disember 2006 selain Januari dan Mac 2008.

Dia menyamai pencapaian Wayne Rooney yang turut memenangi anugerah itu sebanyak lima kali.

Namun ramai juga peminat bola sepak berpendapat Mohamed Salah lebih berhak memenangi anugerah itu seperti diluahkan mereka di media sosial. Malah bekas pemain England, Gary Lineker turut berkata di Twitter, bintang Liverpool itu sepatutnya dipilih pemenang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Oktober 2021 @ 9:46 PM