SPALLETTI diberi tugas julang semula Itali. FOTO Reuters
SPALLETTI diberi tugas julang semula Itali. FOTO Reuters
AFP

Rom: Luciano Spalletti, yang dinobatkan sebagai juara Itali bersama Napoli musim lalu, diberikan tugas untuk menghidupkan semula Azzurri, lima hari selepas Roberto Mancini meletak jawatan secara mengejut sebagai jurulatih Itali.

Objektif utama Spalletti adalah untuk melayakkan juara Eropah itu ke Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico, selepas Itali terlepas edisi 2018 dan 2022.

Persekutuan Bolasepak Itali (FIGC) dalam satu kenyataan berkata mereka 'mencapai persetujuan dengan Luciano Spalletti untuk jawatan jurulatih pasukan kebangsaan Itali bermula dari 1 September'.

"Mari kita mengalu-alukan kehadiran Spalletti," kata presiden FIGC Gabriele Gravina,

"Pasukan negara memerlukan jurulatih yang hebat dan saya sangat gembira kerana beliau menerima untuk membimbing Azzurri."

Tempoh kontraknya tidak dinyatakan, tetapi menurut akhbar Itali, ia akan meliputi tiga tahun sehingga 2026.

FIGC berkata Spalletti akan dipersembahkan secara rasmi di pusat latihan kebangsaan di Coverciano, dekat Florence, sebelum perlawanan kelayakan Euro 2024 menentang Macedonia Utara dan Ukraine pada awal September.

Spalletti kehilangan pekerjaan sejak beliau meninggalkan Napoli, hanya beberapa minggu selepas membawa mereka memenangi Scudetto ketiga dalam sejarah mereka.

Rundingan menjadi rumit kerana kontraknya dengan Napoli, yang berlangsung sehingga Jun 2024, termasuk klausa yang memerlukan beliau membayar pampasan sebanyak €3 juta (RM15 juta) jika mengambil jawatan baharu itu.

Presiden dan pemilik Napoli, Aurelio De Laurentiis enggan melepaskan jurulatih.

FIGC tidak menyatakan sama ada perjanjian dicapai dengan Napoli.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Ogos 2023 @ 2:29 PM