BARISAN pemain Napoli meraikan kejayaan mereka bersama trofi Serie A. FOTO Reuters
BARISAN pemain Napoli meraikan kejayaan mereka bersama trofi Serie A. FOTO Reuters
AFP

Naples: Penyokong Napoli menyaksikan wira mereka akhirnya menjulang trofi Serie A, awal pagi tadi ketika jurulatih, Luciano Spalletti akan meninggalkan Naples.

Kemenangan 2-0 ke atas Sampdoria menyaksikan penyokong bersesak-sesak ke Stadio Diego Armando Maradona untuk melihat pasukan mereka menjulang trofi buat kali pertama dalam tempoh 33 tahun.

Victor Osimhen membuka jaringan menerusi sepakan penalti pada pertengahan babak kedua yang juga jaringan peribadinya yang ke-26 sekali gus muncul penjaring terbanyak Afrika sepanjang zaman di Serie A.

Giovanni Simeone kemudian memastikan tuan rumah menamatkan musim ini dengan mengumpul 90 mata apabila menjaringkan gol minit ke-85 menerusi rembatan jarak jauh yang menakjubkan sebelum meraikannya dengan memegang jersi Napoli yang dipakai oleh ikon dan rakan senegara, Maradona.

"Saya tidak tahu, presiden perlu memutuskan perkara itu," kata Osimhen kepada DAZN selepas ditanya sama ada dia akan meninggalkan kelab itu selepas menerima tawaran lumayan.

"Saya sayangkan penduduk Napoli, mereka menunjukkan kasih sayang yang begitu besar kepada saya. Bagi aya tidak kisah, presiden membuat keputusan dan saya hanya akan ikut keputusannya sahaja."

Spalletti pula akan bercuti selama setahun sementara masih terikat kontrak dengan Napoli.

"Saya perlu jujur ​​pada diri sendiri, meninggalkan pasukan adalah keputusan yang saya buat sendiri. Walaupun saya berada di rumah, ia seperti saya berada di tempat penonton menonton dan bersorak untuk mereka." kata Spalletti.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Jun 2023 @ 8:45 AM