SPALLETTI membimbing Napoli muncul juara Serie A buat kali pertama sejak 1990. FOTO AFP
SPALLETTI membimbing Napoli muncul juara Serie A buat kali pertama sejak 1990. FOTO AFP
Reuters

Rom: Jurulatih Napoli, Luciano Spalletti mengakui dia meminta untuk berehat daripada sukan itu dan tidak akan membimbing juara baru Serie A itu, musim depan.

Spalletti baru saja membimbing Napoli merangkul gelaran Serie A buat kali pertama sejak 1990, tetapi terdapat spekulasi sama ada dia akan meneruskan tugas atau sebaliknya.

Malam Ahad lalu, pemilik Napoli, Aurelio De Laurentiis berkata, jurulatih itu akan meminta pengecualian dan beliau tidak akan menghalangnya.

"Dengan rasa penuh hormat kepada kelab, saya memberitahu De Laurentiis mengenai perancangan saya untuk berehat selama setahun," kata Spalletti kepada agensi berita Ansa,

"Saya agak letih dan mahu meluangkan masa bersama anak perempuan saya, Matilde," katanya.

Media Itali membuat spekulasi dengan menyatakan bekas jurulatih skuad Sepanyol, Luis Enrique mungkin menggantikan tempat Spalletti.

Tidak dapat dipastikan apa yang bakal dilakukan Spalletti, 64, dalam tempoh rehat itu.

Napoli muncul juara Serie A musim ini dengan mengatasi kelab lebih kaya dan ia gelaran liga pertama sejak selepas era mendiang Diego Maradona.

Spalletti yang mula mengemudi Napoli pada 2021 mengalirkan air mata apabila Napoli mengesahkan gelaran pada awal musim ini, dan menghadiahkan gelaran itu kepada keluarga serta abangnya yang meninggal dunia empat tahun lalu.

Dia pernah membimbing beberapa kelab Itali seperti AS Roma dan Inter Milan dan menghabiskan lima musim mengemudi kelab Rusia, Zenit St Petersburg.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mei 2023 @ 8:45 AM