FAISAL digantung sebulan dahulu bermula semalam hingga 23 Ogos ini. FOTO AIZUDDIN SAAD
FAISAL digantung sebulan dahulu bermula semalam hingga 23 Ogos ini. FOTO AIZUDDIN SAAD
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Tonggak utama Selangor FC Faisal Halim secara rasmi akan berehat panjang pada baki saingan liga musim ini apabila dia digantung empat bulan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Hukuman terbabit disahkan Selangor FC menerusi kenyataannya sebentar tadi yang memaklumkan Jawatankuasa Tatatertib FAM mengenakan tindakan terbabit susulan kenyataan media yang dibuat pemain kebangsaan itu selepas perlawanan menentang Sabah pada 27 April lalu.

Katanya, keputusan berkenaan dimaklumkan kepada Selangor FC hari ini, selepas wakil kelab dan pemain hadir di hadapan Jawatankuasa Tatatertib untuk perbicaraan, semalam.

Selangor FC juga menjelaskan Faisal yang lebih dikenali sebagai 'Mickey' digantung sebulan dahulu bermula semalam hingga 23 Ogos ini.

Baki tiga bulan lagi ditangguhkan tertakluk kepada kelakuan baik pemain terbabit selama 12 bulan dari tarikh 24 Ogos tahun ini hingga 24 Ogos tahun hadapan.

"Oleh itu, beliau (Faisal) tidak boleh disenaraikan untuk perlawanan menentang Johor Darul Ta'zim (JDT), Kuala Lumpur City FC, Negeri Sembilan FC dan kedua-dua perlawanan Piala Malaysia menentang PDRM FC," katanya.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan seorang pemain terkenal Liga Super digantung perlawanan dipercayai kerana melakukan kesalahan pada perlawanan sebelum ini.

Walaupun ketika ini tiada pengesahan daripada pihak berkaitan termasuklah Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) namun menurut sumber pemain malang itu adalah tonggak Selangor FC, Faisal.

Sumber berkata, Faisal kemungkinan akan digantung selama sebulan atau lebih sekali gus memberi tamparan kepada Selangor yang ketika ini dalam usaha mengekalkan momentum kemenangan bagi mengukuhkan kedudukan di tangga kedua Liga Super.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Julai 2023 @ 10:29 PM