FAISAL harungi empat siri pembedahan.
FAISAL harungi empat siri pembedahan.
Firdaus Hashim


Shah Alam: Selepas kejayaan pembedahan pertama dan kedua sebelum ini, bintang bola sepak Selangor FC Faisal Halim dijangka melalui proses pembedahan ketiga pada petang ini.

Perkara itu dimaklumkan Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar sambil meminta seluruh rakyat Malaysia mendoakan kesejahteraan Faisal.

"Petang ini (pembedahan ketiga)," katanya ketika dihubungi Arena Metro hari ini.

Menurutnya lagi, mulai hari ini prosedur lawatan di hospital akan dipertingkatkan dengan mengehadkan pelawat menziarahi Faisal.

Langkah itu diambil bagi membolehkan proses rawatan berikutnya berjalan lebih lancar.

"Macam Hannah Yeoh (Menteri Belia dan Sukan) katakan (semalam), dah boleh (Faisal) main mata. Jadi dah semakin pulih."

"Jadi kita bagi ruang kepada pihak doktor menjalankan tugas untuk pembedahan ketiga ini. Kita harap ia akan semakin baik," katanya.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan Faisal akan mengharungi empat siri pembedahan bagi merawat lecur tahap empat dialaminya selepas diserang oleh dua individu tidak dikenali pada Ahad lalu.

Faisal atau lebih dikenali dengan jolokan Mickey disahkan doktor mengalami kecederaan di bahagian muka, leher, lengan dan badan kesan daripada curahan asid itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2024 @ 12:23 PM