RED Giants dijangka akan mengenakan jumlah bayaran cecah jutaan ringgit untuk  nilai tebus kontrak. -FOTO NSTP
RED Giants dijangka akan mengenakan jumlah bayaran cecah jutaan ringgit untuk nilai tebus kontrak. -FOTO NSTP
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: "Saya rasa agak sukar untuk membayar", demikian reaksi ejen bola sepak terkemuka dari Korea Selatan, Myeongho Jeong yang mengakui agak sukar untuk menerbangkan pemain sayap Selangor FC, Faisal Halim ke Liga Korea Selatan jika nilai tebus kontrak terlalu tinggi.

Menurut Jeong yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) JMH Sports Agency, beliau masih belum menghubungi pengurusan skuad Red Giants berhubung hasrat untuk membawa Faisal ke Korea Selatan.

Malah, beliau juga masih menunggu surat tunjuk minat atau tawaran rasmi daripada dua kelab Korea yang dikaitkan iaitu Suwon Samsung FC dan Incheon United.

"Saya belum bercakap dengan pasukan (Selangor FC) lagi, memandangkan ia sepatutnya (jangkaan perpindahan) jendela perpindahan pada Julai nanti.

"Saya juga sedang menunggu tawaran konkrit dan rasmi dari pasukan Korea," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Menerusi laporan akhbar ini, harga jutaan ringgit perlu dibayar bagi mendapatkan khidmat Faisal jika ada pihak yang berminat dengan tonggak lincah itu.

Perkara terbabit dinyatakan CEO Selangor FC, DR Johan Kamal Hamidon yang akui pemain kebangsaan itu adalah tonggak utama Red Giants dan tidak mudah buat pasukan itu untuk melepaskan Faisal.

Ujarnya, nilai sebenar pemain kelahiran Pulau Pinang itu akan ditentukan oleh Ahli Lembaga Pengarah Kelab dengan beliau tidak menolak kemungkinan harga tebus kontrak itu bernilai jutaan ringgit.

Jeong menambah, jika perbincangan untuk mendapatkan Faisal menemui jalan buntu, beliau akan terus memantau prestasi pemain-pemain tempatan yang lain untuk di bawa ke Korea Selatan.

"Ya, saya akan terus melihat lebih ramai potensi pemain lain," katanya yang mempunyai hampir 200 pemain di bawah agensinya di Liga Thailand, manakala hampir 20 pemain dan pegawai di Liga Malaysia musim ini.

Untuk rekod, Selangor FC pernah meletakkan tanda harga pada bekas pemainnya, Syahmi Safari dengan nilai RM6 juta.

Kemungkinan tanda harga sama turut diletakkan kepada semua pemain Selangor dan ini bermakna, pihak yang mahukan Faisal perlu menyediakan jutaan ringgit bagi mendapatkan khidmatnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mei 2023 @ 2:33 PM