WAN Sukairi Wan Abdullah. FOTO Malik Muhamad
WAN Sukairi Wan Abdullah. FOTO Malik Muhamad
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Susulan pengekalan jadual perlawanan suku akhir Piala FA pada sebelah petang membabitkan pertempuran Terengganu FC (TFC) menentang Kelantan FC pada 27 Mei ini, kerajaan negeri minta campur tangan daripada Menteri Belia dan Sukan berhubung perkara itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan Negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, campur tangan daripada Hannah Yeoh penting bagi mengelak sebarang kemungkinan yang berlaku kepada pemain dan juga peminat kedua-dua pasukan kerana cuaca sekarang terlalu panas.

Jelasnya, jika perlawanan tidak diubah pada sebelah malam, risiko terkena strok haba bagi peminat yang hadir menyaksikan perlawanan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Gong Badak terutama golongan kanak-kanak agak tinggi kerana terpaksa berjemur hampir dua jam.

Malah katanya, bagi memberi keselesaan dan ketenangan kepada pemain dan juga penyokong kedua-dua pasukan, tiada masalah besar perlawanan 'derbi' itu dilangsungkan pada waktu malam yang cuacanya tidak panas.

Terdahulu dalam surat balas yang dihantar Liga Bolasepak Malaysia (MFL) pada 9 Mei lalu kepada Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, badan pengelola itu menolak rayuan TFC yang mahu perlawanan itu dilangsungkan pada waktu malam kerana cuaca pada sebelah petang panas selain stadium itu tiada bumbung selepas runtuh pada 2 Jun 2009.

"Saya berpandangan Menteri Belia dan Sukan perlu campur tangan dalam isu ini bagi mengelak perkara yang tidak diingini berlaku terutama strok haba terutama kepada kanak-kanak yang hadir menyaksikan perlawanan itu nanti.

"Lagipun keadaan sekarang cuaca terlalu panas bukan sahaja di Terengganu tapi juga di negeri lain, saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu difikirkan lebih mendalam dan diikuti pengelola dan bukannya fikir selain daripada itu.

"Justeru saya meletakkan harapan yang tinggi agar campur tangan dan keperihatinan menteri agar dapat meminda masa perlawanan ke sebelah malam bagi mengelak terdedah dengan cuaca panas," katanya ketika dihubungi.

Semalam portal ini melaporkan Kelab Penyokong Bolasepak Terengganu FC juga turut merayu kepada MFL agar dapat mengkaji semula keputusan mengekalkan aksi di sebelah petang kerana cuaca panas terik bagi mengelak berlakunya perkara yang tidak diingini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mei 2023 @ 12:33 PM