DR ASITS Sanna. FOTO Arkib NSTP
DR ASITS Sanna. FOTO Arkib NSTP
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Sabah merekodkan kes terbaru kesihatan dikaitkan dengan fenomena cuaca panas membabitkan seorang pelajar yang dilaporkan mengalami kelesuan haba akibat aktiviti bersukan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Dr Asits Sanna berkata, pelajar lelaki berumur 14 tahun itu dikesan mengalami masalah berkenaan ketika mendapatkan rawatan di unit kecemasan sebuah hospital pada 27 Julai lalu.

Katanya, pemeriksaan mendapati pelajar terbabit mengalami simptom kelesuan haba yang dipercayai terjadi akibat menyertai aktiviti bersukan ketika cuaca panas.

"Kes itu dikesan selepas pelajar berkenaan mendapatkan rawatan di bahagian kecemasan hospital tetapi dibenarkan pulang pada hari sama.

"Faktor risiko yang dikenal pasti adalah terbabit dalam aktiviti bersukan ketika keadaan cuaca panas," katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Dr Asits berkata, pelajar terbabit adalah antara 16 kes kesihatan berkaitan fenomena cuaca panas yang direkodkan di Sabah dalam tempoh empat bulan bermula 15 April lalu.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 10 kes membabitkan kelesuan haba; tiga kes kekejangan otot dan tiga kes lagi membabitkan strok haba.

Beliau berkata, antara gejala penyakit berkaitan cuaca panas ialah badan berasa kering dan panas, denyutan jantung menjadi laju, pening, mual dan boleh mengakibatkan sawan atau pengsan.

"Kanak-kanak dan warga emas adalah golongan yang paling berisiko mendapat masalah kesihatan berikutan cuaca panas.

"Segeralah berjumpa doktor bagi mendapatkan rawatan lanjut sekiranya mengalami tanda-tanda awal kekejangan haba, kelesuan haba dan strok haba," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Ogos 2023 @ 7:50 AM