TFC akur dengan keputusan MFL untuk tidak membenarkan mereka beraksi di sebelah malam. FOTO GHAZALI KORI
TFC akur dengan keputusan MFL untuk tidak membenarkan mereka beraksi di sebelah malam. FOTO GHAZALI KORI
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Impian Terengganu FC (TFC) untuk beraksi di sebelah malam menentang Kelantan FC dalam aksi suku akhir Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak pada 27 Mei ini berkecai apabila permohonan kelab itu ditolak Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Menerusi surat balas yang dikeluarkan MFL pada semalam memaklumkan, pengelola Liga Malaysia (Liga M) itu memutuskan untuk mengekalkan waktu perlawanan membabitkan dua pasukan tetangga itu pada waktu petang.

Dengan pengesahan itu bermakna, bukan sahaja pemain terpaksa beraksi di bawah cuaca panas terik, tapi penyokong kedua-dua pasukan juga nampaknya perlu membawa payung untuk menyaksikan perlawanan itu kerana stadium berkenaan tiada bumbung selepas runtuh pada 2 Jun 2009.

Terdahulu pada 5 Mei lalu, Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd sudah menghantar surat rayuan kepada MFL supaya aksi membabitkan 'pertempuran derby' itu diubah pada jam 9 malam berbanding 5 petang yang ditetapkan sebelum ini berikutan keadaan cuaca yang panas ketika ini.

Menerusi kenyataan kelab dari Pantai Timur itu pada hari ini jelas kecewa apabila permohonan untuk beraksi pada waktu malam ditolak MFL walaupun sudah mengemukakan alasan yang kukuh.

"Seperti yang sedia maklum, perlawanan yang membabitkan pasukan TFC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin bagi saingan Liga Malaysia sebelum ini dilangsungkan pada sebelah malam, namun begitu bagi perlawanan suku akhir Piala FA yang akan menemukan TFC dan Kelantan FC pada 27 Mei 2023 ini telah ditetapkan oleh pihak penganjur untuk dilangsungkan pada sebelah petang.

"Sebelum ini pihak pengurusan TFC telahpun menghantar surat permohonan pindaan masa ke sebelah malam atas beberapa faktor antaranya keadaan cuaca panas pada ketika ini yang akan menyebabkan kesukaran buat para penyokong untuk hadir menyaksikan perlawanan kerana stadium yang digunakan tidak mempunyai bumbung.

"Faktor seterusnya TFC juga tidak pernah beraksi pada sebelah petang sebelum ini yang juga dilihat bakal memberikan impak kurang baik untuk pasukan ini.

"Bagaimanapun dalam surat balas, ia dimuktamadkan oleh pihak penganjur atas beberapa faktor yang telah dinyatakan pada surat seperti mana mengambil kira tontonan secara langsung yang bakal meningkat apabila perlawanan dilangsungkan pada waktu berbeza dan beberapa faktor lain yang dinyatakan oleh pihak MFL.

"Penganjur juga turut menyatakan bakal membantu memberikan kemudahan buat pasukan seperti mengadakan drinks break dan sebagainya apabila ianya berkaitan dengan keadaan cuaca semasa," demikian menurut kenyataan TFC Sdn Bhd itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mei 2023 @ 6:34 PM