MAHALI (kiri) semakin yakin dengan persefahaman rakan sepasukan selepas tujuh perlawanan Liga Super. FOTO NSFC
MAHALI (kiri) semakin yakin dengan persefahaman rakan sepasukan selepas tujuh perlawanan Liga Super. FOTO NSFC
Mohd Amin Jalil


Seremban: Keputusan seri 1-1 dengan Sabah FC pada aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Isnin lalu, tetap bermakna buat penyerang Negeri Sembilan FC (NSFC), Mahali Jasuli.

Malah, pemain berusia 33 tahun itu menegaskan, keputusan itu menunjukkan kekuatan dan persembahan skuad Hobin Jang Hobin semakin meningkat berbanding awal musim.

"Walaupun hasrat kami untuk mendapatkan tiga mata berbekalkan kelebihan beraksi di laman sendiri, tetapi menentang Sabah diakui sukar dan bukan mudah.

"Justeru, keputusan seri itu bukan suatu kegagalan bagi kami, sebaliknya ia pencapaian positif kerana Sabah dibarisi ramai pemain berpengalaman bertaraf kebangsaan selain tenaga import mereka lebih berwibawa.

"Keputusan itu memperlihatkan graf persembahan pasukan semakin meningkat berbanding awal musim dan saya percaya graf ini akan terus meninggi menjelang perlawanan Liga Super akan datang," katanya.

Menurut Mahali, persefahaman antara pemain tempatan dengan import semakin baik dan memberangsangkan selepas melalui tujuh aksi liga.

Menurutnya, situasi itu amat baik kerana bakal mengharungi saingan lebih mencabar selepas sambutan Aidilfitri nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 April 2023 @ 8:49 PM