NSFC akan guna strategi berbeza menentang PDRM FC. -FOTO Ihsan FB NSFC.
NSFC akan guna strategi berbeza menentang PDRM FC. -FOTO Ihsan FB NSFC.
Oleh Mohd Amin Jalil


Seremban: Selepas kembali mendapatkan rentak kemenangan, pasukan Negeri Sembilan FC (NSFC) berharap keputusan positif itu dapat dikekalkan pada pertembungan dengan PDRM FC, dalam aksi Liga Super, di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam esok.

Ketua jurulatih NSFC, K Devan, mahu anak buahnya meneruskan persembahan terbaik bagi mengekalkan keputusan positif walaupun berhadapan tugas mencabar kerana beraksi di tempat lawan.

Katanya, strategi yang digunakan ketika menang ke atas Kuala Lumpur (KL) City FC, Ahad lalu, kemungkinan akan menjadi percaturannya bagi menghadapi tentangan anak didik Azzmi Ab Aziz.

"Kita mungkin akan menggunakan strategi yang sama atau mungkin ubah sedikit kerana suasana perlawanan berbeza antara tempat sendiri dengan tempat lawan.

"Ketika menentang KL City, saya menurunkan tiga pemain di bahagian serangan membabitkan gandingan Mohamad Zaquan Adha (Abd Radzak), Sean Eugene Selvaraj dan Mahali Jasuli.

"Tapi bertemu PDRM di tempat lawan, kita akan tengok situasi pasukan terkini, tapi tetap kita akan bermain dengan tiga di belakang (barisan pertahanan) bagi memastikan setiap serangan pasukan lawan dapat dihadapi dengan baik," katanya di sini, hari ini.

Pengendali berpengalaman itu yang berjaya meletakkan skuad Hobin Jang Hobin menamatkan saingan di tempat keempat Liga Super musim lalu, berkata kemungkinan tidak banyak perubahan dari segi senarai barisan pemain yang akan dipertaruhkan malam esok.

Menurutnya, penyerang utama, Casagrande yang tidak dapat beraksi dalam dua perlawanan sebelum ini kemungkinan bakal diturunkan dalam kesebelasan utama, namun tidak pasti sama ada dia boleh beraksi dalam tempoh 90 minit atau sebaliknya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mei 2023 @ 12:19 PM