SEAN Eugene dan Shahrel Fikri mampu memperkasakan lagi jentera serangan NSFC pada saingan Liga M musim ini. FOTO NSFC
SEAN Eugene dan Shahrel Fikri mampu memperkasakan lagi jentera serangan NSFC pada saingan Liga M musim ini. FOTO NSFC
Mohd Amin Jalil


Seremban: Penyerang muda Negeri Sembilan FC (NSFC), Sean Eugene Selvaraj bersedia membentuk gandingan mantap bersama Shahrel Fikri Mohd Fauzi bagi memperkasakan lagi jentera serangan pasukan itu pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Selepas berjaya mencipta sensasi menerusi jaringan cantik pada musim lalu sehingga jaringan berkenaan dicalonkan bagi Anugerah Puskas Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa), Sean mahu mengulangi prestasi itu musim ini.

Dia akui kini sedang berusaha membentuk gandingan mantap bersama penyerang baharu, Shahrel Fikri yang mesra dipanggil Eky, dalam usaha memastikan serangan Negeri Sembilan lebih berbisa sebaik saingan Liga Super membuka tirainya bulan depan.

"Saya dalam proses membentuk keserasian yang mantap bersama Eky dan dia sememangnya pemain berpengalaman kerana pernah beraksi bersama skuad Harimau Malaya.

"Memang suatu peluang terbaik bagi saya kerana dapat bersama dengan Eky dan saya akan cuba membina kekuatan bersama demi memastikan jentera serangan pasukan lebih mantap.

"Fokus saya adalah untuk meningkatkan prestasi dalam setiap persembahan dan berharap saya dan Eky dapat memberi impak positif kepada barisan depan Negeri Sembilan," katanya di sini, hari ini.

Menurut Sean, dia juga dapat menimba pengalaman berharga daripada pemain serba boleh, Mahali Jasuli.

"Kami masing-masing berusaha untuk mencapai tahap terbaik demi untuk pasukan kerana cabaran Liga M musim ini dijangka lebih sengit dengan pertambahan bilangan pasukan yang bersaing.

"Setakat ini, saya dapat rasakan kombinasi antara kami (Eky) dan juga Mahali (Jasuli) amat positif, namun dengan kehadiran penyerang import yang dijangka tiba dalam masa terdekat, ia harus memberikan impak yang lebih baik kepada kekuatan pasukan apabila cabaran sebenar bermula nanti.

"Saya harap dapat beraksi lebih baik pada tahun ini berbanding musim lalu," kata pemain yang pernah beraksi di temasya Sukan Sea 2017 (KL2017).

Kedua-dua bekas penyerang Selangor FC ini terutama Eky yang lebih berpengalaman bakal menjadi taruhan penting buat skuad bimbingan K Devan dalam mendepani cabaran Liga M musim ini.

Selepas berjaya menamatkan saingan di tangga keempat Liga Super musim lalu, skuad Hobin Jang Hobin dilihat terus berusaha keras memperkasakan pasukan untuk membolehkan mereka dapat bersaing dengan baik sama ada dalam Liga Super, Piala FA mahupun Piala Malaysia musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 January 2023 @ 7:05 PM