MAHALI (kiri) masih berbisa di atas padang. FOTO NSFC
MAHALI (kiri) masih berbisa di atas padang. FOTO NSFC
Mohd Amin Jalil


Seremban: Menerima pujian ketua jurulatih K Devan pada penampilan sulung dalam aksi pemanas badan membuatkan semangat dan keyakinan Mahali Jasuli, semakin membara.

Malah, bekas pemain kebangsaan berusia 33 tahun itu, tidak mahu menoleh kebelakang sebaliknya terus fokus kepada usaha meningkatkan prestasi bagi membantu Negeri Sembilan FC (NSFC) bersaing hebat dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

"Saya anggap sokongan daripada beliau (Devan) sebagai suatu yang positif dan akan menambahkan lagi keyakinan serta semangat untuk terus bekerja keras meningkatkan prestasi.

"Menjadi misi saya untuk membantu Negeri Sembilan meraih pencapaian yang lebih baik dalam Liga M musim ini dengan menduduki sekurang-kurangnya tempat ketiga Liga Super dan merangkul satu piala.

"Saya akan terus memberikan komitmen tinggi dalam setiap persembahan bukan sahaja pada aksi persahabatan, lebih-lebih pada cabaran sebenar nanti," katanya di sini, hari ini.

Pada perlawanan persahabatan dengan Penang FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Selasa lalu, Devan memuji aksi Mahali yang bekerja keras membantu rakan lain untuk mendapatkan keputusan positif.

Dia yang beraksi di posisi sayap kanan menjadi pencetus kepada jaringan Negeri Sembilan, yang dilakukan Mohd Shahrel Fikri Mohd Fauzi, selepas hantarannya disudahkan dengan baik penyerang muda itu.

Dalam pada itu, Mahali akui masih banyak perlu dipelajarinya untuk mencapai tahap persembahan terbaik kerana sedar cabaran dalam Liga M kali ini amat kompetetif apa tah lagi akan membabitkan 14 pasukan.

Sehubungan itu, bekas pemain Petaling Jaya (PJ) City FC itu, berpandangan kombinasi antara pemain dalam skuad Hobin Jang Hobin perlu diperkasakan, agar pasukan dapat memberikan cabaran yang baik dan meraih keputusan memuaskan.

"Kami perlu mengikuti dan memahami sebaiknya taktikal yang diketengahkan jurulatih untuk memastikan setiap perancangan yang disusun itu dapat diterjemahkan dengan baik di atas padang.

"Dengan kehadiran pemain import dalam tempoh terdekat ini nanti, saya yakin dan percaya kekuatan pasukan akan lebih terserlah," kata pemain yang juga pernah menyarung jersi Selangor Fc, Johor Darul Ta'zim (JDT) dan PKNS FC.

Untuk rekod, Mahali antara pemain dalam pasukan Harimau Malaya yang berjaya menjulang Piala AFF pada edisi 2010.

Bersama PJ City musim lalu, Mahali beraksi 25 perlawanan dan mengumpul 1,407 minit permainan selain berjaya menjaringkan tiga gol untuk membantu pasukan itu menamatkan saingan Liga Super di tangga kesembilan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 January 2023 @ 2:26 PM