Firdaus Hashim melaporkan dari Doha dan Qatar


PENYERANG skuad Harimau Malaya, Darren Lok bersedia digandingkan dengan mana-mana pemain jika terus diberi kepercayaan pada aksi kedua Kumpulan E Piala Asia menentang Bahrain, di Stadium Jassim Bin Hamad, di sini, Sabtu ini.

Jelas tonggak warisan berdarah Malaysia-England itu, dia menyerahkan keputusan di tangan pengendali negara, Kim Pan-gon bagi menentukan barisan kesebelasan utama untuk aksi getir itu.

Kata pemain Sabah FC itu lagi, dia serta rakan sepasukan lain sudah lama beraksi secara bersama dan masing-masing amat mengenali gaya permainan masing-masing.

"Terpulang kepada keputusan jurulatih siapa yang akan diturunkan dan apakah strategi yang digunakan, bagi saya tidak kisah digandingkan dengan sesiapa.

"Sebagai pemain profesional kita dah berlatih bersama agak lama dan mengetahui gaya permainan di mahukan, jadi saya tidak ada masalah," katanya ketika ditemui di hotel penginapan pasukan di sini, hari ini.

DARREN Lok ketika ditemui media  di hotel pasukan di Dusit, Doha.  FOTO Hairul Anuar Rahim
DARREN Lok ketika ditemui media di hotel pasukan di Dusit, Doha. FOTO Hairul Anuar Rahim

Pada aksi pertama Selasa lalu, Pan-gon mempertaruhkan formasi 3-4-3 dengan Lok bermain di depan bersama Faisal Halim dan tonggak naturalisasi terbaharu, Romel Morales.

Begitupun percaturan itu kurang menjadi dan dijangka Pan-gon bakal membuat sedikit perubahan di jentera hadapan bagi menambah sengat sekali gus memburu gol.

Paulo Josue, Akhyar Rashid dan Arif Aiman Hanapi antara pilihan tambahan yang ada untuk digandingkan bersama Lok jika dia diturunkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 January 2024 @ 7:55 PM