MESSI dicemuh penyokong PSG susulan prestasi kurang mengancam kelab itu. FOTO AFP
MESSI dicemuh penyokong PSG susulan prestasi kurang mengancam kelab itu. FOTO AFP
AFP

Paris: Lionel Messi dijangka memilih meninggalkan Paris Saint-Germain (PSG) pada hujung musim ini, berbanding menandatangani kontrak baharu, kata sumber rapat kepada kelab itu.

"Keadaan berubah sepenuhnya dengan PSG tidak mendesak untuk dia menyambung kontrak. Tiada rundingan, tiada perpisahan buat masa ini. Tetapi, perpisahan dijangka berlaku," kata sumber itu.

Messi yang memastikan Argentina memenangi Piala Dunia Qatar 2022 akan berusia 36 tahun pada Jun ini dan menyertai PSG pada 2021 dengan kontrak dua tahun yang akan berakhir hujung musim ini.

Ahad lalu, nama bintang Argentina itu dicemuh penyokong PSG ketika nama pemain diumumkan sebelum tewas 0-1 di tempat sendiri di tangan Lyon pada aksi Ligue 1.

Penyokong kelab itu kurang gembira dengan pasukan selepas tersingkir di tangan Bayern Munich di peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL), bulan lalu.

PSG tewa lapan daripada 18 perlawanan pada 2023 iaitu catatan yang menyaksikan mereka turut tersingkir di Piala Perancis, walaupun memiliki kelebihan enam mata di tangga teratas liga.

Dalam pada itu, Messi dilaporkan menerima tawaran 400 juta euro (RM1.93 bilion) setahun untuk menyertai kelab Arab Saudi, Al Hilal SFC.

Tawaran itu jauh melebihi kontrak Cristiano Ronaldo bersama satu lagi kelab Liga Pro Saudi, Al Nassr.

Menurut wartawan Itali, Fabrizio Romano, kelab berkenaan berharap dapat menandatangani juara Piala Dunia bersama Argentina itu selepas kontraknya di PSG tamat musim panas ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 April 2023 @ 1:00 PM