LIONEL Messi. FOTO AP
LIONEL Messi. FOTO AP
Agensi

London: Lionel Messi dilaporkan akan ditawarkan perjanjian bernilai £194 juta (RM1.05 bilion) semusim untuk berhijrah ke Arab Saudi selepas bapanya dikesan berada di Riyadh awal minggu ini.

Kontrak pemain Paris Saint Germain (PSG) berusia 35 tahun itu akan tamat pada musim panas ini, dan dia akan menjadi ejen bebas jika tidak bersetuju untuk melanjutkan kontraknya.

Bapa Messi dan ejen Jorge, yang juga duta Arab Saudi, berada di Riyadh beberapa hari kebelakangan ini sekali gus mencetuskan spekulasi bahawa dia mungkin sedang berunding bagi pihak anaknya.

Arab Saudi sedang berusaha mengambil kesempatan daripada ketidaktentuan yang menyelubungi masa depan Messi, dengan salah satu kelab terkemuka, Al-Hilal bersedia menawarkan kontrak yang lumayan kepadanya sebaik sahaja pengharaman perpindahan mereka tamat pada penghujung musim, menurut Marca.

Seteru utama Messi, Cristiano Ronaldo menyertai Al-Nassr dalam perjanjian £175 juta (RM952.1 juta) setahun pada Disember, dan Arab Saudi kini merancang untuk meyakinkan pemain Argentina itu mengikuti jejak langkah Ronaldo dengan berpindah ke Timur Tengah.

Mereka dipercayai terdesak untuk merealisasikan perjanjian itu, dengan ahli politik sanggup terlibat untuk meningkatkan had gaji dalam Liga Pro supaya Messi boleh beraksi.

Messi dilihat mahu melanjutkan tempoh kontaknya di PSG pada awal tahun, selepas memenangi Piala Dunia bersama Argentina pada Disember.

Tetapi rundingan nampaknya terhenti sejak itu, dan belum ada jaminan bahawa dia akan kekal beraksi di ibu negara Perancis itu selepas berakhir musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mac 2023 @ 12:55 PM