BENZEMA dijulang rakan sepasukannya selepas melakulan penampilan terakhir bersama Real Madrid. FOTO Reuters
BENZEMA dijulang rakan sepasukannya selepas melakulan penampilan terakhir bersama Real Madrid. FOTO Reuters
AFP

Madrid: Karim Benzema dan Lionel Messi dijangka berhijrah ke Arab Saudi, menurut laporan selepas pemergian bekas penyerang Perancis itu dari Real Madrid disahkan kelab gergasi itu.

Saluran televisyen kerajaan Saudi, Al-Ekhbariya melaporkan Benzema, 35, sudah menandatangani kontrak dengan Al-Ittihad yang berpangkalan di Jeddah.

Sementara itu, pegawai kanan dari Al Hilal terbang ke Perancis untuk mencuba dan menandatangani perjanjian bersama Messi selepas pemain berusia 35 tahun itu beraksi pada perlawanan terakhirnya untuk Paris Saint-Germain (PSG), semalam.

Delegasi dari Saudi merancang untuk bertemu bapa dan ejen Messi, Jorge, dengan tujuan untuk mendapatkan tandatangannya secepat mungkin, kata sumber kepada AFP.

Messi tiba di Paris dua musim lalu dari Barcelona tetapi tidak dapat membantu PSG memenangi kejuaraan Liga Juara-Juara selepas kelab itu tersingkir pada pusingan 16 terakhir sepanjang dua musim Messi bersama mereka.

Benzema dan Messi bakal mengikut jejak langkah Cristiano Ronaldo selepas penyerang Portugal itu berhijrah ke Al Nassr dari Manchester United sebaik berakhir Piala Dunia tahun lalu.

Menurut Al-Ekhbariya, presiden juara Saudi, Al-Ittihad dan timbalannya berada di ibu negara Sepanyol untuk mendapatkan tandatangan Benzema secara rasmi dalam 'rekod perpindahan dengan Real Madrid'.

Stesen penyiar itu berkata Benzema sudah bersetuju dengan perjanjian selama dua tahun bersama kelab itu.

Benzema menjaringkan penalti dalam perlawanan terakhirnya di Madrid ketika mereka seri 1-1 dengan Athletic Bilbao, awal pagi tadi.

Benzema menjulang lima trofi Liga Juara-Juara, empat gelaran La Liga dan tiga Copa del Rey bersama Madrid selain memenangi anugerah Ballon d'Or selaku pemain terbaik dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Jun 2023 @ 7:49 AM