RONALDO kini ejen bebas.
RONALDO kini ejen bebas.
Agesi

London: Penyerang Portugal Cristiano Ronaldo dilaporkan semakin hampir menandatangani kontrak mega bernilai £175 juta (RM939 juta) setahun dengan kelab Arab Saudi, Al Nassr.

Dia menjadi ejen bebas selepas kontraknya bersama Manchester United ditamatkan susulan temu bual kontroversi dengan Piers Morgan bulan lalu.

Al Nassr mahu membawa masuk Ronaldo sebelum penghujung tahun ini, menurut media Sepanyol Marca dan bakal menawarkan kontrak dua setengah tahun dengan pilihan lanjutan 12 bulan.

Al Nassr antara kelab paling berjaya di Arab Saudi apabila menjuarai liga sembilan kali dengan kali terakhir pada 2019.

Mereka kini dikendalikan jurulatih dari Perancis, Rudi Garcia yang pernah mengendalikan Roma, Marseille dan Lyon.

Ronaldo yang menolak tawaran kelab Arab Saudi yang tidak didedahkan identiti pada musim panas kini bercuti bersama keluarga di Dubai bagi memulihkan kekecewaan kempen Piala Dunia.

Portugal tersingkir pada suku akhir selepas tewas kepada Maghribi dan menyaksikan Ronaldo mengalirkan air mata ketika keluar padang.

Pemain berusia 37 tahun itu mahu terus beraksi pada tahap tertinggi tetapi gagal menarik minat kelab utama Eropah memaksa dia mempertimbangkan tawaran lain yang semakin terhad.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Disember 2022 @ 4:01 PM