MESSI dikaitakan dengan beberapa kelab. FOTO AFP
MESSI dikaitakan dengan beberapa kelab. FOTO AFP
Agensi

Madrid: Pengurus Barcelona, Xavi mendedahkan Lionel Messi akan memutuskan masa depannya minggu depan dan kelab itu terbuka untuk menerimanya kembali.

Messi meninggalkan Barca untuk menyertai Paris Saint Germain (PSG) pada 2021 dan menghabiskan dua tahun di Paris, tetapi jurulatih, Christophe Galtier mengesahkan bahawa pemain berusia 35 tahun itu akan meninggalkan PSG hujung musim ini.

Pemenang Piala Dunia bersama Argentina itu dikaitkan dengan perpindahan ke Inter Miami, yang dilaporkan bersedia menandatanganinya secara percuma sebelum meminjamkannya ke Barca selama 18 bulan.

Kini Xavi memberitahu Mundo Deportivo bahawa Messi akan membuat keputusan dalam tujuh hari akan datang dan tiada apa yang boleh menghalangnya untuk kembali ke La Liga.

"Dia akan membuat keputusan minggu depan dan kini terdapat 200 kebarangkalian. Pada akhirnya dia akan menentukan masa depannya dan di sini pintu sentiasa terbuka untuknya.

"Jika persetujuan diperlukan daripada jurulatih untuknya kembali, dia 100 peratus OK boleh kembali," katanya.

Ditanya peranan Messi jika kembali, pengendali berusia 43 tahun itu berkata: Dia boleh beraksi dalam banyak posisi sama ada sebagai pemain sayap dan pemain tengah di mana dia sudah beraksi sepanjang kariernya.

"Pada akhirnya anda sendiri perlu menyedari bagaimana untuk meningkatkan prestasi diri. Tapi saya melihat dia boleh membantu kami."

Satu-satunya tawaran diperoleh Messi setakat ini adalah daripada kelab Arab Saudi, Al Hilal, dengan pasukan yang berpangkalan di Riyadh itu menawarkan kontrak selama dua tahun bernilai sekitar £2 bilion (RM11.4 bilion).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Jun 2023 @ 8:58 AM