GRIEZMANN memiliki 117 kap bersama pasukan Perancis.
GRIEZMANN memiliki 117 kap bersama pasukan Perancis.
Agensi

Paris: Antoine Griezmann dilapor menimbangkan masa depannya bersama skuad kebangsaan Perancis selepas tidak dipilih menjadi kapten, menurut laporan hari ini.

Penyerang Atletico Madrid berusia 32 tahun itu menjuarai Piala Dunia bersama negaranya pada 2018 dan membantu mereka mara ke final kedua berturut-turut di Qatar.

Tetapi kini Le Figaro melaporkan dia terkejut dan kecewa dengan keputusan Didier Deschamps tidak melantiknya sebagai kapten baharu Les Bleus.

Griezmann dikaitkan dengan pasukan kebangsaan untuk perlawanan menentang Belanda dan Ireland dalam aksi kelayakan Euro 2024.

Namun dia tampak kecewa apabila Deschamps memberitahunya Kylian Mbappe akan memakai liltan kapten ketika menentang Belanda pada awal pagi Sabtu ini dan penyerang Paris Saint-Germain itu dijangka menjadi kapten kekal pasukan Perancis.

Hugo Lloris mengosongkan tugas itu susulan bersara daripada bola sepak antarabangsa selepas tamat Piala Dunia.

Griezmann memiliki 117 kap dan 42 gol untuk Perancis dan difahamkan antara calon pilihan menggalas tugas kapten.

Tetapi Deschamps sebaliknya memilih Mbappe, 24, sekali gus bakal menjadi kapten termuda dalam skuad Perancis.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mac 2023 @ 7:05 PM