MBAPPE ketika sesi latihan menjelang aksi bertemu Belanda, Sabtu ini. FOTO AFP
MBAPPE ketika sesi latihan menjelang aksi bertemu Belanda, Sabtu ini. FOTO AFP
AFP

Clairefontaine-en-Yvelines: Kylian Mbappe akan mengambil alih jawatan kapten Perancis selepas Hugo Lloris berundur berikutan kekalahan di final Piala Dunia kepada Argentina, sumber yang rapat dengan pasukan itu memberitahu AFP.

Penyerang Paris Saint-Germain (PSG), Mbappe, 24, menerima peranan itu selepas perbincangan dengan jurulatih Didier Deschamps.

Perlawanan pertamanya sebagai kapten ialah aksi kelayakan Euro 2024 menentang Belanda di Stade de France, Sabtu ini, perlawanan pertama Les Bleus sejak kekecewaan final Piala Dunia dekat Doha, Disember tahun lalu.

Penjaga gol Tottenham Lloris, 36, menamatkan karier antarabangsanya pada Januari lalu, beberapa minggu selepas Argentina diketuai Lionel Messi menewaskan Perancis menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 3-3 selepas masa tambahan.

Lloris menggalas tugas selaku kapten Perancis selama lebih sedekad.

Penyerang Atletico Madrid, Antoine Griezmann dinamakan sebagai naib kapten selepas bek tengah Manchester United, Raphael Varane turut menggantung but selepas kekalahan kepada Argentina, Disember lalu.

Mbappe, yang menjaringkan hatrik ketika kekalahan final Piala Dunia, sudah banyak kali dikaitkan dengan peranan kapten.

Michel Platini, yang mengetuai Perancis untuk memenangi Kejohanan Eropah 1984 berkata, keputusan itu adalah 'idea yang sangat baik'.

"Dalam memberinya tanggungjawab sebagai kapten, ia membolehkan Kylian mampu untuk pergi lebih jauh, lebih tinggi, lebih kuat," kata Platini, bekas ketua badan induk bola sepak Eropah, Uefa, dalam satu kenyataan kepada AFP.

Mbappe membantu Les Bleus menjulang Piala Dunia ketika masih remaja pada 2018 dan sudah membuktikan dirinya sebagai penyerang terkemuka di pentas global.

Bekas pemain Monaco kelahiran Paris itu adalah naib kapten di PSG di belakang pertahanan Brazil, Marquinhos dan mengetuai pasukan itu semasa ketiadaan pemain pertahanan itu semasa kekalahan kepada Rennes, Ahad lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mac 2023 @ 8:35 AM