HAMIDIN cuba melakar sejarah baharu buat kontinjen Malaysia yang tidak pernah memenangi emas. FOTO OWEE AH CHUN
HAMIDIN cuba melakar sejarah baharu buat kontinjen Malaysia yang tidak pernah memenangi emas. FOTO OWEE AH CHUN
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mengakui bersedia menggalas tanggungjawab besar dalam misi meraih emas pertama di Sukan Olimpik Paris 2024 selepas dilantik sebagai Chef de Mission (CDM) ke temasya itu tahun depan.

Jelas Hamidin, pelantikan yang dibuat oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh itu disambut dengan penuh kesyukuran dan beliau berazam untuk memacu kontinjen negara mencapai pungutan pingat yang banyak di Olimpik kali ini.

Malah, pemburuan pingat emas pertama turut berada dalam radarnya sekali gus cuba melakar sejarah baharu buat kontinjen Malaysia yang tidak pernah memenangi emas dalam Sukan Olimpik itu.

"Pertama saya ingin ucapkan ribuan terima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Adam Adli dan warga Kementerian Belia dan Sukan.

"Dan juga kepada Presiden OCM (Majlis Olimpik Malaysia), Tan Sri Norza dan seluruh eksekutif Ahli Jawatankuasa OCM yang memberi kepercayaan kepada saya, telah memilih saya sebagai Ketua Kontinjen Olimpik bagi Malaysia pada tahun hadapan 2024 di Paris.

"Dengan kepercayaan ini adalah satu amanah dan tanggungjawab yang harus saya pikul bersama-sama dengan yang lain, supaya saya kita dapat meraih kejayaan bukan hanya mendapat pingat emas sulung untuk Malaysia buat kali pertama di Olimpik tetapi juga meraih seberapa banyak pingat yang boleh pada Sukan Olimpik 2024.

"InsyaAllah dengan doa semua pihak dan kerjasama dari semua pihak, InsyAllah kita akan berjaya.. salam hormat daripada saya," katanya yang ketika ini berada di Kigali, Rwanda bagi menyertai Fifa Kongres ke-73.

Semalam, Hannah Yeoh mengumumkan pelantikan Hamidin sebagai Chef de Mission (CDM) atau Ketua Kontinjen negara ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Selain dilantik sebagai CDM, Hamidin juga dilantik bagi menganggotai pasukan projek 'Road to Gold'.

Turut dilantik menganggotai pasukan projek itu ialah Timbalan CDM, Datuk Nicol Ann David yang juga adalah bekas bekas ratu skuasy negara.

Malaysia tidak pernah memenangi emas di Sukan Olimpik dengan pencapaian terbaik adalah pada edisi 2016 di Rio de Janeiro, apabila kontinjen negara membawa pulang empat perak dan satu gangsa.

Malah, pada Februari lalu, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah mencabar Kementerin Belia dan Sukan dan OCM cuba membawa pulang pingat emas pertama dari Sukan Olimpik ke tanah air selepas ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mac 2023 @ 10:57 AM