DA SILVA pemain import terakhir KUFC. FOTO  Ihsan KUFC
DA SILVA pemain import terakhir KUFC. FOTO Ihsan KUFC
BERNAMA

Kota Bharu: Penyerang dari Brazil, Gregory Rocha Mendes Da Silva, hari ini diumumkan sebagai pemain import keenam dan terakhir menyarung Kelantan United FC (KUFC) bagi menghadapi saingan Liga Super musim ini.

Pengarah Eksekutif KUFC, Wan Mohd Zul Ikman, berkata pemain berusia 27 tahun itu telah menandatangani kontrak bersama pasukan selama semusim.

"Dia direkrut sebelum pintu perpindahan Liga Malaysia (Liga-M) ditutup baru-baru ini, namun disebabkan beberapa masalah teknikal, beliau baru sahaja tiba di Kelantan, Khamis lalu.

"Pemain ini mempunyai pengalaman bermain di Liga Brazil dan Colombia selain pernah menyertai kelab divisen tiga Portugal iaitu Vidago dan Benfica Castello Branco dengan menjaringkan 15 gol dalam 20 penampilan," katanya, dalam kenyataan, hari ini.

Wan Mohd Zul berkata Mendes Da Silva kini menjalani latihan bersama pasukan untuk mendapatkan momentum tahap kecergasan sebelum beraksi pada perlawanan akan datang.

Mendes Da Silva adalah pemain import keenam pasukan KUFC selepas Jose Elmer dari Filipina, Morgaro Gomis (Senegal), Ernist Batyrknov (Kyrgyzstan), Yan Victor dan Devid De Santana Silva (Brazil).

Selepas tiga perlawanan pada aksi Liga Super, KUFC memperoleh satu mata hasil iaitu satu seri dan dua kalah dan berada di kedudukan dua tercorot liga daripada 14 pasukan bertanding.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mac 2023 @ 11:22 PM