REZAL Zambery (kiri) dilantik sebagai Pengarah Pembangunan Akar Umbi KUFC. FOTO ihsan KUFC
REZAL Zambery (kiri) dilantik sebagai Pengarah Pembangunan Akar Umbi KUFC. FOTO ihsan KUFC
Nor Amalina Alias


Kota Bharu: Kelantan United Football Club (KUFC) melantik bekas Ketua Jurulatih Kelantan FC, Rezal Zambery Yahya sebagai Pengarah Pembangunan Akar Umbi KUFC.

Pengarah Eksekutif KUFC,Wan Mohd Zul Ikman Wan Abdul Aziz berkata, khidmat Khidmat Rezal, 45, yang juga bekas pemain kebangsaan bertanggungjawab untuk memperbaiki serta meningkatkan program ubi muda KUFC.

"Tugas Rezal bukan sahaja daripada aspek teknikal, malah memantau dan melaksana keseluruhan program dan pembangunan bola sepak KUFC," katanya.

Dalam pada itu, beliau mengumumkan KUFC meminjam dua pemain Terengganu FC (TFC) bagi memperkuatkan pasukan dalam baki saingan Liga Malaysia.

Katanya, skuad Kijang Hijau mendapatkan khidmat pemain sayap, Faiz Nasir dan pertahanan, Muhammad Azarul Nazarith Azhar.

"Kami yakin dengan kemasukan dua pemain berpengalaman itu diharap dapat memberikan impak dan lebih pilihan pemain kepada Ketua Jurulatih, Ailton Dos Santos Silva.

"Dua pemain itu dibawa masuk untuk menambah sengat pasukan dan kehadiran Faiz yang digelar 'Messi Terengganu' diharap membantu kami lebih mencabar dalam Liga Super dan Piala Malaysia.

"Kami berterima kasih kepada Terengganu FC dan mengalu-alukan kehadiran mereka berdua ke dalam ke pasukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Julai 2023 @ 9:06 PM