WILLIAN  Lira  (kanan) menjadi sandaran Kedah untuk merobek gawang NSFC.
WILLIAN Lira (kanan) menjadi sandaran Kedah untuk merobek gawang NSFC.
Izzali Ismail


Alor Setar: Ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Nafuzi Zain menuntut semangat juang dan keyakinan tinggi pemainnya dalam meneruskan misi perlawanan kesepuluh Liga Super menentang Negeri Sembilan FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi Jumaat ini.

Dua penyerang utama Willian Lira dan Jonathan Balotelli sudah pasti menjadi tumpuan memburu gol buat Sang Kenari bagi membantu pasukan mencapai misi memburu tiga mata kali ini.

Menurut Nafuzi, perlawanan bakal dihadapi Sang Kenari dianggap misi mencabar dalam usaha kembali bangkit mendapatkan tiga mata selepas mengalami dua kekalahan sebelum ini.

"Saya mahu semua pemain hadir dengan kekuatan yang kami harapkan iaitu melalui kerjasama yang baik dan juga aksi berpasukan seperti dirancangkan semasa latihan.

"Untuk mencapai misi tiga mata ini, kami perlu terus fokus dengan menampilkan disiplin tinggi dalam semua posisi termasuk ruang pertahanan dan juga serangan yang perlu kami perkukuhkan.

"Selepas dikecewakan kali kedua, kami mahukan persediaan yang baik dan lebih bersedia, dan saya harap pada hari perlawanan nanti pemain dapat mengatasi setiap tekanan dan cabaran di tempat lawan yang tidak mudah buat kami," katanya.

Nafuzi juga berkata tiada jalan mudah buat skuadnya untuk berdepan skuad kendalian jurulatih K Devan kerana mereka juga menunjukkan kebangkitan dengan tidak mengalami kekalahan dalam dua aksi sebelum ini.

Sang Kenari kini berada pada kedudukan kelima dengan mengumpul 16 mata melalui lima kemenangan, satu seri dan tiga kekalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 April 2023 @ 3:25 PM