Skuad KDA FC bergambar bersama penyokong di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH), Alor Setar. FOTO Izzali Ismail
Skuad KDA FC bergambar bersama penyokong di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH), Alor Setar. FOTO Izzali Ismail
Izzali Ismail


Alor Setar: Pemilik Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar yakin Sang Kenari bakal membina skuad lebih mantap untuk aksi Liga Super melalui jelajah pramusim di Antalya Turkiye bemula 6 hingga 15 Februari ini.

Menurut Mohd Daud yang juga tokoh perbankan Islam dan kewangan syariah, tempoh 10 Antalya adalah peluang yang tidak harus dilepaskan kerana ini julung kali latihan diadakan di benua Eropah sekali gus membina inspirasi baharu buat pasukan.

"Latihan di Turkiye ini penting kerana Sang Kenari memerlukan satu suntikan inspirasi baru untuk mendapatkan semula tempo dan gaya sebagai pasukan yang dihormati. Bila ada usaha lebih sikit, moga-moga hasilnya akan lebih baik.

"Ini juga kali pertama Sang Kenari ke Eropah. Inilah ruang dan peluang serta pentas yang didambakan oleh setiap pasukan dan bukan senang untuk menyusun satu 'trip' ke Eropah dengan bajet KDA FC yang sederhana di musim 2023. Kita doakan hanya yang terbaik kepada Sang Kenari.

"Saya juga bercadang untuk berada di Antayla mulai 12 hingga 15 Februari jika semua kerja-kerja saya siap sebelum 11 Februari ini. Seronok dapat menyantuni Sang Kenari di bumi dan iklim Antayla," katanya.

Mohd Daud juga menyeru seluruh penyokong Kedah untuk menyaksikan semua aksi pramusim yang membabitkan pasukan dari Kazakhstan, Uzbekistan dan Ukraine.

"Jangan lupa juga untuk melanggan siaran bagi menonton keempat-empat perlawanan persahabatan ini sambil menyumbang kepada dana kelab kita," katanya.

Kedah akan memulakan aksi Jelajah Turkiye musim ini dengan menentang kelab FC Nasaf dari Uzbekistan di Ekodizayn 1 pada 9 Februari ini dan diikuiti kelab dari Kazakhstan iaitu FC Shakhter Karagandy di Limak Sports Center pada 10 Februari.

Sementara dua lagi aksi, membabitkan kelab FK Maktaaral dari Kazakhstan di Limak Sports Center dan kelab dari Ukhraine iaitu FC Metalist Kharkiv di Ekodizayn 1 masing-masing pada 12 dan 14 Februari.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Februari 2023 @ 6:16 PM