STUART Ramalingam. FOTO NSTP
STUART Ramalingam. FOTO NSTP
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Agenda nasional tetap menjadi keutamaan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dalam menyusun kalendar saingan liga tempatan biarpun bakal menganjurkan enam kejohanan sepanjang musim ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam, pihaknya tetap memberi keutamaan kepada skuad Harimau Malaya yang turut berdepan beberapa tugasan antarabangsa seperti aksi persahabatan sebagai persediaan sebelum ke Piala Asia di Qatar pada Januari tahun depan.

Malah katanya, tugasan skuad bawah 23 (B-23) tahun juga dititik beratkan di mana anak buah E Elavarasan itu dijadual mengharungi empat pertandingan besar iaitu Piala AFF B-23, Sukan Sea di Kemboja, Sukan Asia di China dan Kelayakan Piala Asia B-23.

"Kami sudah lakukan perbincangan dengan pihak FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) dan AFL (Liga Bolasepak Amatur) dan juga pihak stadium dengan mengambil kira tugasan besar pasukan kebangsaan.

"Bukan sahaja untuk skuad senior tetapi juga pasukan B-22 dan 23 yang bakal menghadapi empat kejohanan besar tahun ini iaitu Kelayakan Piala Asia B-23, Piala AFF B-23, Sukan SEA dan Sukan Asia," katanya.

Sebelum ini, isu pelepasan pemain dalam saingan Liga Malaysia sering menjadi topik perbualan hangat dikalangan pemilik kelab, pemerhati dan penyokong bola sepak tempatan.

Terbaharu pada Disember lalu apabila ada beberapa kelab enggan melepaskan pemain menyertai latihan pusat skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan-gon yang bersaing di Piala AFF.

Alasan diberikan adalah kerana saingan itu berlangsung di luar jendela Fifa, selain faktor kepenatan selepas mengharungi musim yang agak padat sepanjang musim lalu.

Untuk rekod, musim ini menyaksikan enam kejohanan domestik bakal dipertandingkan termasuk Piala Sumbangsih, Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia, Piala Cabaran MFL dan Piala MFL (Liga Simpanan B-23), bermula 24 Februari ini sehingga Disember depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 January 2023 @ 2:34 PM