O'DONELL (kanan) akui jadual cukup babitkan skuad B-23 negara tahun ini. FOTO FAM
O'DONELL (kanan) akui jadual cukup babitkan skuad B-23 negara tahun ini. FOTO FAM
Firdaus Hashim


Petaling Jaya: Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Scott O'Donell mempertahankan keputusan badan induk itu yang tidak menghantar skuad Bawah 23 (B-23) ke temasya Sukan Asia di Hangzhou, China, September ini.

Jelasnya, keputusan terbabit diambil bagi memastikan misi lebih utama iaitu layak ke Piala Asia B-23 pada tahun depan dicapai, sekali gus berpeluang ke Sukan Olimpik jika berjaya menamatkan saingan tiga terbaik di Piala Asia B-23 itu nanti.

"Jadual tahun ini cukup padat babitkan skuad B-23, dari satu kejohanan ke satu kejohanan. Jika kita hantar pasukan ke Sukan Asia, mungkin pemain akan berada dalam situasi kepenatan.

"Jadi kita ambil keputusan bagi membolehkan tumpuan dapat diberikan sepenuhnya di Sukan Sea (bulan Mei), Kelayakan Piala Asia (bulan September) dan Piala AFF (bulan November)," katanya ketika ditemui di Wisma FAM, Kelana Jaya, di sini hari ini.

Ditanya pula mengapa FAM tidak menghantar skuad B-19 ke Sukan Asia sebagai medan pendedahan, O'Donell jelaskan ia tidak praktikal dan boleh mengundang kepada keputusan perlawanan yang lebih negatif.

"Pasukan B-19 bertanding di Sukan Asia babitkan B-24…sudah tentu ia tidak sesuai. Jika pasukan mendapat keputusan teruk dibelasah nanti, sudah tentu penyokong akan mengkritik tentang kekalahan itu daripada memahami perkara asas pasukan yang dihantar adalah B-19.

"Lebih baik kita tidak menyertainya dan fokus kepada misi yang lebih besar dan utama," katanya.

Terdahulu, Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin memaklumkan pihaknya tidak menghantar pasukan ke Sukan Asia kerana temasya itu begitu hampir dengan tarikh pusingan Kelayakan Piala Asia B-23 yang dijadual berlangsung pada bulan sama.

Hamidin berkata perkara itu dipersetujui selepas mengambil kira pandangan semua pihak termasuk pengendali B-23, E Elavarasan bahawa pusingan kelayakan itu lebih penting dalam memburu slot ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Sukan Asia 2022 dijadual berlangsung dari 23 September hingga 8 Oktober sementara pusingan Kelayakan Piala Asia B-23 2024 dijangka bermula dari 4 hingga 12 September.

Tiga pasukan terbaik dalam pusingan akhir Piala Asia B-23 2024 akan layak ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Februari 2023 @ 6:21 PM