ELAVARASAN berkata saingan Piala MFL akan menjadi platform terbaik kepada pemain muda. FOTO NSTP
ELAVARASAN berkata saingan Piala MFL akan menjadi platform terbaik kepada pemain muda. FOTO NSTP
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kehadiran Piala Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bermula pada 2 Mac ini akan memberikan lebih banyak pilihan buat pengendali Bawah 23 (B-23) negara, E Elavarasan dalam mencari kesebelasan terbaik bagi memikul cabaran negara di pentas antarabangsa sepanjang musim ini.

Selain temasya Sukan Sea di Kemboja, skuad Harimau Muda turut berdepan empat tugasan penting iaitu kempen Piala AFF B-23, Sukan Asia, Kelayakan Sukan Olimpik dan Kelayakan Piala Asia B-23.

Elavarasan yang juga penolong jurulatih skuad senior kepada Kim Pan-gon berkata, saingan Piala MFL akan menjadi platform terbaik kepada pemain muda bagi memperagakan bakat mereka sekali gus mengekalkan kecergasan mereka di tahap kompetitif untuk sepanjang musim.

"Memang satu situasi berbeza kerana sebelum ini saya hanya memantau perkembangan pemain dalam skuad utama dan kali ini kita sudah ada Piala MFL.

"Kejohanan Sukan Sea tugasan pertama saya bersama pasukan dan sudah tentu, saya mengharapkan mampu mendapatkan pemain yang terbaik.

"Jadi dengan adanya Piala MFL, saya rasa boleh mencungkil pemain-pemain baharu untuk pasukan selain boleh mendapatkan minit permainan yang lebih banyak jika dibandingkan dengan Liga Super," katanya.

Semalam, MFL mengadakan undian Piala MFL membabitkan 15 pasukan termasuk Skuad Projek FAM-MSN dengan saingan akan dipecahkan kepada dua kumpulan.

Kumpulan A memperlihatkan lapan pasukan bakal bersaing iaitu Skuad Projek FAM-MSN, PDRM FC, Kedah Darul Aman (KDA) FC, Penang FC, Johor Darul Ta'zim II (JDT II), Terengganu FC II, Sabah FC dan Kelantan United FC.

Sementara itu baki tujuh lagi pasukan membabitkan Selangor FC, Kuala Lumpur City FC, Perak FC II, Negeri Sembilan FC, Sri Pahang FC, Kuching City FC dan Kelantan FC akan bermain di Kumpulan B.

Di bawah format Piala MFL yang menjadi platform kepada pemain B-23 itu, semua pasukan boleh mendaftarkan lima pemain senior tempatan melebihi umur (lahir sebelum tahun 2000) dan tiga pemain import pada sesuatu perlawanan dengan pasukan diberikan beberapa pilihan bagi menggunakan pemain senior dan import.

Ujar Elavarasan, kehadiran awang import dalam Piala MFL mampu mematangkan pemain-pemain muda sekali gus memudahkan tugasnya apabila membentuk pasukan negara nanti.

"Kehadiran pemain-pemain import mungkin boleh dijadikan panduan kepada pemain-pemain muda ini terutama kepada mereka yang masih baharu dengan suasana pertandingan seperti ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Februari 2023 @ 1:49 PM