Brad Maloney (tengah) ketika sesi latihan bersama pemain muda negara. FOTO File NSTP
Brad Maloney (tengah) ketika sesi latihan bersama pemain muda negara. FOTO File NSTP
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Bekas pemain negara, Azlan Johar menyambut baik cadangan agar skuad bawah 23 (B-23) tahun negara diberi tanggungjawab menggalas misi di peringkat antarabangsa mulai musim depan.

Skuad B-23 yang dibimbing Brad Maloney bakal mengharungi tiga pertandingan terbesar sepanjang tahun depan bermula Sukan Sea di Vietnam, Sukan Asia di China dan Piala Asia B-23 di Uzbeskistan.

Menerusi tiga saingan di peringkat bawah umur itu, diyakini kelompok pemain muda itu akan sempat matang sebelum mengharungi saingan Piala AFF yang dijadual berlangsung hujung tahun depan sekali gus berpeluang menebus 'aib' di saingan sama di Singapura ketika ini.

Dalam kempen Piala AFF baru-baru ini, cabaran skuad negara terhenti di peringkat kumpulan selepas hanya sekadar menamatkan kedudukan di tangga ketiga Kumpulan B di belakang Indonesia dan Vietnam.

"Ia perancangan yang baik dan banyak negara sudah buktikan apabila membawa skuad lebih muda seperti Indonesia yang menewaskan kita di peringkat kumpulan sebelum ini," katanya kepada Arena Metro.

Ujarnya lagi, sekiranya badan induk bola sepak itu mahu memberi peluang kepada skuad B-23, ia harus dilakukan dengan perancangan rapi termasuk pendedahan yang betul buat pasukan.

"Sebelum ini masalah pasukan kita sebab tak sempat nak buat persiapan. Pasukan lain pun macam Indonesia, mereka berlatih selama sebulan sebelum ke Singapura.

"Jadi kalau kita nak bagi pemain muda kita kena pastikan latihan dan perlawanan persahabatan yang secukupnya.

"Tahap permainan bawah umur dan senior jauh beza. Jadi dengan persiapan yang betul dan beberapa kejohanan yang akan disertai (Sukan Sea, Sukan Asia dan Piala Asia B-23) diharapkan mereka bersedia dan matang untuk main di Piala AFF hujung tahun depan," katanya.

Saingan Piala AFF yang sepatutnya berlangsung pada tahun lalu terpaksa ditunda hampir setahun kerana pandemik Covid-19.

Malaysia yang menyasarkan untuk mara ke pentas final buat kali kedua berturut-turut gagal melepasi peringkat kumpulan dan menyaksikan skuad kebangsaan teruk dikritik peminat tempatan.

Menerusi laporan Arena Metro, pemerhati bola sepak negara, Mohd Sadek Mustafa mengakui sudah tiba masanya transformasi terhadap skuad Harimau Malaya dilakukan dengan pasukan B-23 disarankan untuk mengambil alih tanggungjawab di peringkat antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Disember 2021 @ 4:13 PM