GUARDIOLA memberi arahan kepada pemain ketika perlawanan pusingan keempat Piala FA menentang Arsenal. FOTO AFP
GUARDIOLA memberi arahan kepada pemain ketika perlawanan pusingan keempat Piala FA menentang Arsenal. FOTO AFP
Agensi

London: Pep Guardiola percaya kemenangan Manchester City dalam Piala FA ke atas Arsenal akan menjadi tidak relevan menjelang pertembungan teratas Liga Perdana bulan depan membabitkan kedua-dua pasukan itu.

Pengurus City itu berkata pasukannya "sangat berpuas hati" apabila berjaya mengatasi Gunners pada pusingan keempat Piala FA dengan beroleh kemenangan 1-0 hasil jaringan Nathan Ake pada babak kedua.

Kali terakhir City memenangi Piala FA pada 2018-19 apabila membelasah Watford 6-0 pada perlawanan akhir dan itu adalah kemenangan tunggal Guardiola dalam pertandingan itu.

Dia merangkul empat kejuaraan Liga Perdana sejak tiba di Manchester pada 2016 dan turut berharap dapat meraihnya buat kali kelima musim ini namun mereka kini sedang mengejar Arsenal dan ketinggalan lima mata selain bermain lebih banyak daripada skuad Mikel Arteta.

Kedua-dua pasukan itu akan bertemu di Stadium Emirates pada 15 Februari dan turut akan bermain di Stadium Etihad pada bulan April dengan dua perlawanan itu boleh menjadi penentu kepada kejuaraan liga.

Guardiola berkata pemainnya "sangat gembira", tetapi mengakui ia bukanlah Liga Perdana,

"Ia satu lagi pertandingan. Kami gembira berada di sana selepas menewaskan Chelsea dan Arsenal dalam dua pusingan pertama.

"Ia akan menjadi hari yang berbeza di Emirates. Mikel tidak akan membuat perubahan yang banyak dalam Liga Perdana.

"Piala FA adalah pertandingan penting, dan kami sangat berpuas hati, tetapi ini akan dilupakan oleh mereka apabila kami berada di sana nanti," katanya.

Arteta melakukan beberapa perubahan dalam kesebelasan utama dengan meletakkan beberapa pemain utama di bangku simpanan termasuk kapten Martin Odegaard, bekas bek kiri City, Oleksandr Zinchenko dan penyerang Brazil, Gabriel Martinelli.

"Kesan daripada Oleks, Odegaard... kami tahu ia akan berbeza dengan lebih banyak tekanan," kata Guardiola melihat perlawanan seterusnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 January 2023 @ 11:53 AM