ALEXANDRE Lacazette (kiri) meraikan jaringannya bersama Mohamed Elneny pada aksi liga bertemu Chelsea, bulan lalu. FOTO AFP
ALEXANDRE Lacazette (kiri) meraikan jaringannya bersama Mohamed Elneny pada aksi liga bertemu Chelsea, bulan lalu. FOTO AFP
Agensi

London: Arsenal akan berusaha untuk menempah tiket ke pusingan keempat Piala FA apabila melayan kunjungan seteru di Liga Perdana, Newcastle United di Stadium Emirates awal pagi Isnin.

The Gunners akan tampil pada perlawanan itu selepas mencatat tiga kemenangan berturut-turut pada aksi Liga Perdana berbanding Newcastle yang gagal meraih kemenangan dalam enam perlawanan terakhir di semua pertandingan.

Pengurus Arsenal, Mikel Arteta berdepan tekanan hebat selepas Manchester City melakar kemenangan 4-1 ke atas anak buahnya di Stadium Emirates pada aksi suku akhir Piala Liga, 22 Disember lalu.

Bagaimanapun, kelab itu menunjukkan kebangkitan apabila menewaskan Chelsea, Brighton & Hove Albion dan West Bromwich Albion pada tiga perlawanan terakhir untuk melonjak di tangga ke-11 liga.

Skuad bimbingan Arteta mempunyai kelebihan kerana bakal beraksi di tempat sendiri tiga kali berturut-turut.

Mereka akan menanti kunjungan Crystal Palace dan Newcastle dalam dua perlawanan liga selepas ini sebelum beraksi di Southampton pada 26 Januari.

Arsenal adalah juara bertahan Piala FA selepas menewaskan Chelsea pada aksi final musim lalu sekali gus menjulang trofi berkenaan buat kali ke-14 untuk muncul kelab yang paling berjaya dalam saingan itu.

Gunners sudah melakar lapan kemenangan berturut-turut ke atas Newcastle pada aksi liga namun pertemuan Isnin ini adalah yang pertama bagi kedua-dua pasukan di Piala FA sejak Januari 2008 ketika kelab London itu melakar kemenangan 3-0 untuk melangkah ke pusingan kelima.

Newcastle pula memenangi Piala FA sebanyak enam kali namun tidak pernah memenangi trofi itu sejak 1955.

Mereka melangkah sehingga ke suku akhir musim lalu sebelum tewas di tangan Manchester City.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 January 2021 @ 8:43 PM