ARSENAL bangkit di hujung perlawanan untuk seri menentang Southampton. FOTO Reuters
ARSENAL bangkit di hujung perlawanan untuk seri menentang Southampton. FOTO Reuters
AFP

London: Arsenal melakarkan kebangkitan luar biasa untuk menyelamatkan perlawanan dengan keputusan seri 3-3 menentang Southampton namun pendahulu Liga Perdana itu masih kecewa dengan keputusan berkenaan dan meletakkan kedudukan mereka sebagai pendahulu dalam bahaya.

Skuad kendalian Mikel Arteta itu meraih satu mata walaupun ketinggalan 1-3 ketika perlawanan hanya berbaki dua minit masa sebenar di Stadium Emirates.

Gol Martin Odegaard mencetuskan kebangkitan Arsenal dan Bukayo Saka menyambar gol penyamaan pada masa kecederaan.

Biarpun berjaya menamatkan perlawanan mendebarkan itu tanpa tewas namun The Gunners akan berdepan pasukan di tempat kedua, Manchester City Rabu ini dengan mengetahui pasukan Pep Guardiola kini sedang mengejar rapat mereka.

Arsenal mendahului lima mata mengatasi City tetapi juara bertahan itu memiliki dua perlawanan dalam tangan kerana terbabit dalam aksi separuh akhir Piala FA menentang Sheffield United pada Sabtu.

Jika City menang atau seri menentang Arsenal dan kemudian memenangi baki perlawanan mereka, mereka akan dinobatkan sebagai juara tidak kira keputusan yang diraih skuad Arteta.

Selepas mensia-siakan kelebihan dua gol ketika seri 2-2 menentang West Ham dan Liverpool dalam dua perlawanan sebelum ini, Arsenal menunjukkan semangat berbeza ketika keputusan seri ketiga berturut-turut itu.

"Sudah tentu tidak gembira dengan keputusan ini. Kami menjadikannya sukar sekali lagi buat kami. Jika anda dibolosi tiga kali seperti kami lakukan, memang sukar untuk menang, tetapi cara kami bangkit membuatkan saya lebih menyayangi pemain-pemain saya.

"Pasukan muda ini menunjukkan kebangkitan menakjubkan, ketika keadaan tidak menyebelahi anda," kata Arteta.

Penjaga gol Arsenal, Aaron Ramsdale tewas dengan jaringan Carlos Alcaraz hanya selepas 27 saat permainan bermula.

Lebih menyakitkan, bekas pemain mereka, Theo Walcott menggandakan jaringan untuk pasukan di tangga tercorot Liga Perdana Inggeris itu.

Gabriel Martinelli merapatkan jurang untuk Arsenal sebelum Duje Caleta-Car menanduk masuk gol ketiga Southampton.

Odegaard dan Saka memastikan Arsenal berjaya mengelak kekalahan pertama dalam 10 aksi liga.

Namun City yang menang enam aksi liga berturut-turut, memberi tekanan ke atas Arsenal dan skuad muda Arteta kini perlu memastikan kemenangan di Stadium Etihad.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 April 2023 @ 8:57 AM