RONALDO dan Georgina dapat menyesuaikan diri di Riyadh,
RONALDO dan Georgina dapat menyesuaikan diri di Riyadh,
Agensi

London: Cristiano Ronaldo dan pasangannya Georgina Rodriguez menikmati 'dating' romantik di Arab Saudi sebelum bintang baharu Al Nassr itu beraksi menentang Lionel Messi dan Paris St Germain dalam aksi persahabatan awal pagi esok.

Georgina, 28, dalam Instagramnya sempat menayangkan cincin besar begemerlapan ketika mereka berswafoto di meja makan tanpa anak di sisi.

Tetapi lebih menarik perhatian peminat ialah gaya manja Georgina yang memaut leher Ronaldo, 37, sambil tersenyum gembira dan pemain Portugal itu kemudian mencium pipi pasangannya itu.

Dia turut memuat naik foto buah-buahan dan sayur-sayuran serta persekitaran ruang makan privasi berserta kapsyen: "Makan malam bersama tersayang," diikuti emoji bunga ros.

Pasangan itu tidak pernah berkahwin dan ketika undang-undang Arab Saudi melarang ikatan tanpa perkahwinan, tidak dapat dipastikan bagaimana keluarga itu boleh hidup bersama.

Namun, pihak berkuasa belum mengambil sebarang tindakan yang membolehkan Georgina dan Ronaldo tinggal sebumbung susulan status bintang bola sepak itu, menurut dua peguam Arab Saudi kepada media Sepanyol.

Keluarga terbabit turut tampak tidak bermasalah menyesuaikan kehidupan di Timur Tengah selepas Ronaldo menandatangani kontrak mega £175 juta (RM953 juta) setahun dengan Al-Nassr dan kini mendiami salah satu bangunan tertinggi di negara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 January 2023 @ 10:01 AM