GEORGINA (kiri) dan Ronaldo sudah bersama sejak 2016. FOTO Agensi
GEORGINA (kiri) dan Ronaldo sudah bersama sejak 2016. FOTO Agensi
Agensi

London: Georgina Rodriguez dipercayai mempunyai perjanjian dengan teman lelakinya, Cristiano Ronaldo sekiranya pasangan itu berpisah, menurut laporan di Sepanyol.

Model berusia 29 tahun itu yang sudah bersama bintang Al-Nassr berkenaan sejak Jun 2016, mempunyai dua anak bersama iaitu Alana Martina dan Bella Esmeralda.

Georgina turut menjadi ibu kepada tiga lagi anak mereka iaitu Cristiano Ronaldo Jnr serta dua kembar, Eva dan Mateo yang dilahirkan menerusi ibu tumpang.

Pasangan itu dikecualikan daripada undang-undang Arab Saudi yang tidak membenarkan pasangan tidak berkahwin untuk tinggal serumah selepas Ronaldo membuat keputusan berhijrah ke negara itu, awal tahun ini.

Walaupun tidak berkahwin, namun menurut TV Guia, mereka sudah memiliki perancangan bagi memastikan Georgina mendapat bantuan kewangan jika kedua-duanya berpisah.

Difahamkan, perjanjian itu adalah menukar pemilikan rumah keluarga di Madrid kepada Georgina selain dia turut menerima kira-kira 100,000 euro (RM500,000) setiap bulan untuk sepanjang hayatnya.

Alimoni bulanan itu adalah disebabkan Georgina menjadi ibu kepada lima anak Ronaldo dari aspek undang-undang walaupun bukanlah anak kandungnya.

Sebelum ini, pasangan itu dikatakan sudah berpisah pada bulan lalu namun ibu Ronaldo, Dolores membuat kenyataan umum mengenai hubungan anaknya dan menyifatkan khabar angin itu sebagai palsu.

"Setiap pasangan pasti bertengkar namun apa yang ditulis itu adalah satu pembohongan," katanya.

Ronaldo dan Georgina dilihat berada di negara asalnya, Sepanyol dalam satu acara untuk salah satu duta jenamanya di Madrid awal bulan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Jun 2023 @ 12:36 PM