KINGDOM Tower yang menjadi tempat tinggal sementara Ronaldo. FOTO The Sun
KINGDOM Tower yang menjadi tempat tinggal sementara Ronaldo. FOTO The Sun
Agensi

Riyadh: Cristiano Ronaldo mendapat layanan istimewa di Arab Saudi susulan perpindahan mega ke Al-Nassr.

Bintang Portugal berusia 37 tahun itu menyertai kelab di Timur Tengah bulan lalu dengan kontrak £175 juta (RM930.83 juta) setahun.

Ketika Ronaldo masih belum tampil perlawanan pertama, dia sudah pun tinggal di penginapan mewah yang mempunyai pemandangan indah kota Riyadh.

Ronaldo tinggal hotel Four Seasons di Kingdom Tower - antara bangunan tertinggi Arab Saudi, menurut The Mail.

Bekas pemain Manchester United terbabit menginap di 'Kingdom Suite' yang merangkumi dua tingkat di bangunan setinggi 99 tingkat itu

Harga suite tidak disenaraikan tetapi 'Suite Presiden' yang lebih kecil berharga £3,300 (RM17,530) semalam.

Bagaimanapun, Ronaldo dilaporkan hanya tinggal di suite terbabit sementara selama sebulan kerana dia masih mencari kediaman kekal yang sesuai dengan statusnya.

Mengenai Kingdom Suite, pihak hotel berkata: "Melayani tetamu dengan pemandangan indah Riyadh.

"Suite terbaru kami terletak di tingkat 48 dan 50 dengan ruang tetamu mewah, pejabat persendirian, ruang makan dan bilik media."

Pelbagai menu makanan dari pelbagai negara termasuk China, Jepun, India dan Timur Tengah disediakan untuk Ronaldo.

Pasangan legenda Real Madrid itu, Georgina Rodriguez, dikatakan gembira dengan hotel itu yang mempunyai pusat beli belah menjual jenama Louis Vuitton dan Zara.

Kemudahan lain termasuk gelanggang tenis, spa, sauna dan premis urut.

Sementara itu, pencarian kediaman baharu yang kekal untuk Ronaldo diteruskan sejurus dia menandatangani kontrak dua setengah tahun di Arab Saudi.

Al Muhammadiyah dan Al Nakheel - dua kawasan berprestij antara destinasi paling berpotensi dan berhampiran dengan Stadium Mrsool Park milik Al Nassr.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2023 @ 3:58 PM