RONALDO dan Georgina dapat keistimewaan di Arab Saudi.
RONALDO dan Georgina dapat keistimewaan di Arab Saudi.
Agensi

London: Cristiano Ronaldo dan pasangannya Georgina Rodriguez dilaporkan boleh terus tinggal serumah walaupun ia menyalahi peraturan perkahwinan yang ketat di Arab Saudi .

Pemain berusia 37 tahun itu menyertai Al-Nassr dengan kontrak dua setengah tahun bernilai £173 juta (RM906 juta) semusim selepas meninggalkan Manchester United.

Ronaldo diperkenalkan sebagai pemain Al-Nassr awal minggu ini bersama pasangannya Georgina dan anak mereka di hadapan 25,000 penonton di Mrsool Park.

Namun, pasangan itu yang tidak berkahwin tetapi hidup bersama sekian lama menyalahi perundangan Arab Saudi.

Menurut laporan, Ronaldo dan Georgina bakal diberikan pelepasan susulan status bintang Portugal itu antara atlet paling berpengaruh di dunia.

Laporan turut memetik kenyataan dua peguam Arab Saudi yang menjangkakan pihak berkuasa tidak akan campur tangan dalam hal itu.

Seorang daripada mereka berkata: "Walaupun undang-undang tetap melarang hidup bersama tanpa perkahwinan, pihak berkuasa mungkin menutup mata daripada mendakwa sesiapa.

"Namun sudah tentu undang-undang itu akan digunakan apabila berlaku masalah atau jenayah."

Peguam kedua berkata: "Pihak berkuasa Arab Saudi tidak campur tangan dalam masalah ini (membabitkan rakyat asing) tetapi perundangan kekal melarang sebarang perhubungan di luar perkahwinan."

Al-Nassr belum lagi mendaftarkan Ronaldo kerana melepasi kuota pemain asing sekali gus kelab perlu menjual salah seorang pemainnya untuk membolehkan penyerang veteran itu beraksi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 January 2023 @ 8:51 AM