PEMAIN import Sri Pahang FC, Stefano Brundo. FOTO SRI PAHANG FC
PEMAIN import Sri Pahang FC, Stefano Brundo. FOTO SRI PAHANG FC
Asrol Awang


Kuantan: Pemain pertahanan dari Argentina, Stefano Brundo diumumkan pemain import baharu Sri Pahang FC bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Menerusi hantaran di Facebook (FB) rasmi Sri Pahang FC, pemain berusia 29 tahun itu menjadi taruhan dan penambahan pemain import terbaru yang menandatangani kontrak selama satu musim bersama skuad Tok Gajah.

"Brundo antara watak penting kelab Primera B Nacional, Estudiantes BA sepanjang musim lalu dan ini adalah kali pertama dia beraksi di luar Amerika Latin.

"Berbekalkan ketinggian 1.91 meter, ia dilihat sebagai kelebihan utama Brundo untuk memimpin barisan pertahanan.

"Selamat datang Brundo ke dalam keluarga besar Sri Pahang, Hogoh Tok Gajah Hogoh!," katanya menerusi hantaran itu.

Setakat ini, skuad Tok Gajah memiliki empat pemain import iaitu Brundo, Lucas Silva dari Brazil, Michael Glassock (Australia) dan Kevin Ingreso (Filipina).

Menerusi hantaran itu, SPFC mengumumkan pemain baharu, Adam Malique Daniel Ady yang menyertai Sri Pahang dengan kontrak selama dua musim.

Anak jati Pahang berusia 21 tahun itu adalah produk diketengahkan skuad Piala Presiden Felda United sebelum berhijrah menyarung jersi Kelantan United dan Kelantan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 January 2023 @ 11:53 PM