SHERMAN dan Brundo antara tonggak utama Sri Pahang FC musim ini. -FOTO Ihsan Sri Pahang FC
SHERMAN dan Brundo antara tonggak utama Sri Pahang FC musim ini. -FOTO Ihsan Sri Pahang FC
Asrol Awang


Kuantan: Di sebalik kemenangan dramatik 4-3 Sri Pahang FC ke atas Negeri Sembilan FC kelmarin, pengendali Tok Gajah, Fandi Ahmad berterima kasih kepada dua pemain import skuad itu.

Dua pemain berkenaan ialah Stefano Brundo dan Kpah Sherman masing-masing menyumbang dua dan satu gol serta satu gol daripada David Rowley.

Fandi berkata, lebih bermakna Brundo kini muncul penjaring terbanyak skuad itu apabila meledak lapan gol manakala Sherman pula tujuh gol.

"Bagi saya Brundo bermain cemerlang dan latihan yang lebih menumpukan kepada sepakan percuma berjaya disempurnakannya.

"Ketika memperoleh sepakan percuma, saya yakin Brundo dapat menjaringkan gol san ia berhasil.

"Pada masa sama, biarpun Sherman tidak cergas 100 peratus kerana berdepan masalah kecederaan, jaringan pada minit terakhir begitu bermakna buat pasukan.

"Bagi saya kemenangan ini hasil daripada kerja keras serta tidak mengenal erti putus asa selepas ketinggalan 1-3 pada separuh masa pertama," katanya.

Pada perlawanan kelmarin, Sherman muncul wira apabila menjaringkan gol pada masa kecederaan ketika peminat Tok Gajah menjangkakan perlawanan berakhir dengan keputusan seri.

Selepas 14 perlawanan, skuad Tok Gajah berada di kedudukan keempat dengan mengutip 28 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Jun 2023 @ 1:31 PM